Umno Kedah siap sedia hadapi banjir, kata Mukhriz
Umno Kedah telah membuat persiapan untuk menghadapi banjir yang dijangka lebih besar sekiranya berlaku dalam masa terdekat ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Mukhriz Mahathir berkata persiapan itu termasuk logistik, pusat penempatan, bekalan makanan kering, selimut dan dua buah bot untuk mangsa banjir.
"Laporan-laporan yang diterima menganggarkan hujan tahun ini agak lebat dan banjir luar biasa dijangka berlaku. Kita tidak tunggu sehingga ia berlaku sebaliknya membuat persiapan awal.
"Sekiranya tidak berlaku alhamdulillah, kalau berlaku kita bersedia hadapinya," katanya pada majlis 'Korban Perdana' Parlimen Jerlun sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Pering di Kodiang, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata bekalan makanan kering disimpan di sebuah tempat tinggi dan mudah diagihkan apabila berlaku banjir.
Katanya bantuan dan pemindahan mangsa banjir dijangka dapat dilakukan lebih cepat kali ini berdasarkan pengalaman tahun lalu yang bermula di kawasan rendah.
"Semasa banjir tahun lalu, Skuad Bencana Umno yang lebih cepat bertindak menyalurkan bantuan kepada mangsa dan sekarang kami lebih bersedia menghadapinya," kata Mukhriz.
- Bernama

