Kerajaan memperuntukkan RM24 juta kepada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bagi menangani kempen anti minyak sawit bagi tahun 2011 dan 2012.

hamzah zainuddin Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin berkata, kerajaan juga memperhebatkan promosi kebaikan minyak kelapa sawit, termasuk minyak sawit merah yang mengandungi keratin atau Vitamin A.

"Minyak ini telah dikomersialkan oleh industri dan dipasarkan di dalam dan luar negara dengan jenama Carotino,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012, peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah juga berkata, Malaysia sentiasa memastikan proses penanaman kelapa sawit yang melibatkan pembersihan hutan tidak menjejaskan kualiti alam sekitar.

Sebagai bukti katanya, Malaysia sentiasa mematuhi komitmen antarabangsa yang terhasil daripada persidangan sedunia berkaitan alam sekitar seperti Persidangan Bumi Rio yang memperuntukkan sesebuah negara perlu mempunyai 50 peratus muka bumi dilitupi hutan.

NONE "Di Malaysia, jumlah muka bumi yang masih diliputi hutan adalah sebanyak 56.4 peratus,” katanya menjawab pertanyaan Dr Mujahid Yusof  Rawa (Pas-Parit Buntar) yang bangun mencelah penggulungan.

Mujahid berkata, isu alam sekitar di Malaysia, terutama aktiviti penggondolan hutan untuk menanam kelapa sawit banyak digunakan dalam kempen kumpulan aktivis alam sekitar, menyebabkan produk negara itu diharamkan di sesetengah negara seperti Sweden.

- Bernama