Mahkamah benar 6 warga di luar negara cabar SPR
Enam rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang, hari ini diberikan kelulusan untuk membuat semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.
Ini berikutan tindakan SPR yang diwakili oleh Pejabat Peguam Negara tidak membuat sebarang bantahan berhubung permohonan semakan kehakiman itu.
Sehubungan itu, hakim, Datuk Rohana Yusuf menetapkan 13 Disember sebagai tarikh pengurusan kes manakala 3 Januari tahun depan pula bagi mendengar permohonan berkenaan.
Beliau membuat keputusan itu selepas peguam Edmund Bon memberitahu mahkamah pihak peguam Kanan Persekutuan (SFC) Amarjeet Singh mewakili SPR tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung perkara tersebut.
Dalam permohonan itu, enam pemohon iaitu, Teo Hoon Seong seorang doktor, V Vinesh seorang jurutera elektrik, Paramjeet Singh seorang usahawan, Yolanda Sydney Agustin seorang doktor, Sim Tze Wei seorang penterjemah dan arkitek perisian Leong See See, menamakan SPR sebagai responden.
Mereka yang menetap di United Kingdom itu, antara lain memohon satu deklarasi bahawa mereka sebagai warganegera Malaysia yang menetap di luar negara adalah berhak didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir.
Mereka juga memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan SPR melalui surat bertarikh 9 September lalu, yang tidak mendaftarkan mereka sebagai sebagai pemilih tidak hadir.
Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan SPR untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir, dan perintah lain yang perlu bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir atau pengundi pos pada pilihan raya umum akan datang.
[Baca berita penuh]

