UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersetuju mengenepikan baki pampasan tertunggak PLUS Expressways Bhd berjumlah RM2.9 bilion daripada kerajaan.

NONE UEM dalam satu kenyataan hari ini berkata juga tidak akan ada pampasan bagi pembekuan kadar tol sehingga 2015 yang jika tidak akan memberikan kos kepada kerajaan sebanyak RM3.6 bilion.

KWSP dan UEM Group telah memuktamadkan rundingan dengan kerajaan mengenai cadangan pembelian aset dan liabiliti PLUS Expressways dan Penang Bridge Sdn Bhd.

Mereka menjangka menyelesaikan cadangan pembelian itu dan pembayaran kepada pemegang saham PLUS Expressways pada Disember tahun ini.

Di bawah terma rundingan itu, tiada kenaikan tol bagi Lebuh Raya Utara-Selatan (NSE), Laluan Tengah Lebuh Raya Utara Selatan (NSECL), Lintasan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE).

plus highway 050105 toll booths Bermula 2016, kadar tol di empat lebuh raya itu akan meningkat lima peratus setiap tiga tahun manakala bagi Jambatan Pulau Pinang akan kekal seperti bayaran sekarang sehingga akhir tempoh konsesi.

Tiada lanjutan tempoh konsesi bagi NSE dan Linkedua yang akan berakhir pada Disember 2038.

Sementara itu, tempoh konsesi bagi NSECL, BKE dan Jambatan Pulau Pinang akan dilanjutkan ke Disember 2038.

Tarikh akhir semasa bagi NSECL ialah 31 Mei, 2030; BKE (27 Jun, 2026); dan, Jambatan Pulau Pinang (31 Dis, 2021).

- Bernama