Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tinjauan: Guan Eng lebih dihormati dari pemimpin BN
Diterbitkan:  Nov 17, 2011 1:44 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Pengundi BN dan atas pagar di Pulau Pinang mempunyai tanggapan negatif terhadap DAP di negeri itu tetapi anehnya menghormati Ketua Menteri Lim Guan Eng melebihi pemimpin mereka sendiri.

azlan Menurut tinjauan badan penyelidikan bebas, Lim dikenali dan dihormati 30 peratus rakyat, diikuti timbalannya Mansor Othman (13.1 peratus), Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (3.3 peratus) dan Pengerusi Umno Datuk Zainal Abidin Osman (2.8 peratus).

Manakala lain-lain - difahamkan kebanyakannya pemimpin bahagian - mendapat 50.8 peratus, demikian menurut kajian Ilham Centre pada 7 hingga 9 Oktober lalu.

"Sama seperti mereka melihat DAP, iaitu mereka meyakini bahawa pimpinan negeri ini adalah Cina dan kerajaan negeri dipimpin oleh Cina.

"Walaupun begitu, Lim lebih dikenali dan disegani dengan sikap humble (rendah diri), mudah mesra dan sering kali dilihat turun padang," kesimpulan tentang dasar kerajaan negeri dan Lim dalam tinjauan itu dipetik.

"Namun, atas sentimen dan prejudis Umno, beliau tetap dilihat sebagai Cina yang mengancam Melayu."

'kerajaan Cina'

Kajian itu dijalankan di tiga kawasan parlimen kubu kuat BN - Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Bayan Lepas - terhadap 720 pengundi Melayu terdiri daripada anggota BN dan atas pagar.

Ketiga-tiga kawasan parlimen itu dimenangi oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Syed Ameruddin Syed Ahmad.

azlan Ketiga-tiga pemimpin Umno itu tidak tersenarai langsung antara

tokoh kepimpinan negeri dan tempatan yang dikenali dan dihormati dalam kajian itu.

Berhubung kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat pula, 45.6 peratus responden tidak setuju bahawa nasib Melayu akan terbela, sebanyak 20.3 peratus setuju; manakala 29.2 peratus tidak pasti dan 5 peratus lagi tidak memberikan respons.

Laporan tinjauan itu menyimpulkan, situasi yang sedang dihadapi DAP berbeza dengan kepimpinan GERAKAN sebelum 2008 apabila ia dilihat dipimpin BN.

"Ini menunjukkan bahawa doktrinisasi media terhadap Pulau Pinang dilabel sebagai 'kerajaan Cina atau DAP' memberi kesan positif kepada Melayu dan dilihat berjaya.

"Oleh itu, imej kerajaan negeri dilihat sebagai kerajaan DAP bukannya Pakatan Rakyat," laporan itu dipetik.

ADS