Dewan Pemuda PAS (DPP) menganggap kenyataan timbalan perdana menteri yang memberikan jaminan untuk membekalkan air bersih kepada rakyat di Kelantan jika BN diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13, sebagai hanya kenyataan politik berbaur ugutan kepada rakyat negeri itu.

NONE DPP berpandangan, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menunjukkan keangkuhannya sebagai pemimpin negara kerana meletakkan syarat tertentu terlebih dahulu kepada rakyat Kelantan bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Ia juga seperti suatu ugutan agar rakyat Kelantan mengundi BN dalam PRU ke-13, barulah masalah mereka dapat diselesaikan.

"Manakala jika rakyat Kelantan terus mengundi PAS, kerajaan persekutuan akan membiarkan sahaja Kelantan terus dengan masalah ini," kata  Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Muhyiddin mungkin telah melupai bahawa jawatannya selaku timbalan perdana menteri adalah amanah rakyat yang perlu ditunaikan.

"Sebagai pemimpin negara, beliau bertanggungjawab menyelesaikan segala masalah dan keperluan rakyat tanpa mengira di mana mereka berada.

"Seluruh rakyat di negara ini, sama ada Kelantan atau lain-lain lagi, tertakluk di bawah pemerintahan beliau dan beliau wajib menunaikan amanah ini tanpa mengira latarbelakang mereka," katanya.

Lebih daripada itu, tegas Riduan, masalah kebersihan air adalah masalah negara yang juga dialami oleh negeri-negeri yang lain, bukan setakat Kelantan.

"Rakyat umumnya sudah mengerti bahawa air yang mengalir keluar dari paip di rumah, tidak selamat untuk diminum begitu sahaja melainkan perlu dimasak terlebih dahulu.

"Malah penduduk di ibukota juga menghadapi masalah yang sama, dengan kadar kebersihan air yang amat diragui. Oleh kerana itu, mesin pemprosesan dan penyulingan air laris di jual di merata-rata rumah di negara ini.

"Ia adalah masalah nasional yang perlu diselesaikan secara bijak dan berhikmah tanpa sentimen tertentu," tegas Riduan lagi.

Justeru itu, tambahnya, DPP berpendapat, jika Muhyiddin benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan masalah air di Kelantan, tidak perlu menunggu mandat dari rakyat dalam PRU ke-13.

"Sebaiknya, masalah air di Kelantan boleh diselesaikan segera kerana beliau adalah timbalan perdana menteri di Malaysia, dan Kelantan adalah salah satu negeri di bawah pentadbiran negara ini," tambahnya.

Pakatan Kedah

Sementara itu, exco DPP, Mohd Firdaus Jaafar pula berkata, rakyat tidak ‘buta’ fakta dan kini tidak lagi bergantung kepada sumber yang terhad ekoran lambakan sumber maklumat di portal berita serta blog di internet.

Berikutan itu, rakyat kini sudah ‘celik’ maklumat tanpa boleh dibohongi lagi, katanya mengulas Muhyiddin supaya rakyat Kedah tidak mengulangi lagi kesilapan memilih calon bukan BN sekiranya mahu melihat lebih banyak pembangunan di negeri ini.

Menurut Mohd Firdaus, rakyat sudah boleh membezakan yang mana ‘isi’ dan yang mana ‘hampas’ dan rakyat Kedah rata-ratanya tahu perkembangan semasa yang berlaku di Kedah.

"Mereka dengan mudah boleh mendapatkan fakta bagaimana keadaan semasa pemerintahan di zaman BN berbanding di bawah Pakatan Rakyat.

"Kerajaan Kedah di bawah Pakatan berjaya meningkatkan hasil balak berbanding hasil yang dikutip oleh BN semasa pemerintahan mereka sebelum ini," katanya.

Menurutnya, pada 2008 lalu, semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta.

"Ia kemudiannya meningkat kepada RM39 juta pada 2009 dan pada 2010, hasil premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta - naik hampir 205 peratus.

"Sedangkan semasa BN memerintah, hasilnya hanyalah tidak lebih RM8 juta setahun. Banyak lagi ‘nikmat’ yang diperolehi oleh rakyat Kedah yang tidak dapat dinikmati semasa pemerintahan BN dulu," tambahnya.