Umno benar semua buat liputan AGM, kata Hisham
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata parti itu membenarkan semua, termasuk media dalam talian, untuk membuat liputan perhimpunan agung parti yang bermula Selasa ini.
Hishammuddin berkata, tidak seperti pembangkang yang menghalang sesetengah media arus perdana, Umno telah membuka pintunya kepada media dalam talian.
"Sekurang-kurangnya anda (Malaysiakini) dapat dua pas dari Umno," katanya sambil menambah bagi sesetengah sidang akhbar pembangkang, tidak satu pun pas diberikan kepada akhbar atau media tertentu.
Apabila diberitahu bahawa dua pas untuk setiap media Internet mungkin tidak mencukupi untuk membuat liputan yang sewajarnya, Hishammuddin berkata, perkara itu hendaklah dikemukakan kepada ibupejabat Umno.
Ditanya mengenai media alternatif diberikan peluang untuk membuat liputan perhimpunan tersebut, Hishammuddin berkata, perkara itu telah dibangkitkan dibawa jawatankuasa pengurusan.
Katanya, parti itu tidak boleh melarang mereka kerana mereka boleh dilarang masuk ke dewan tetapi terdapat skrin besar di luar dan sekarang adalah dunia tanpa sempadan.
"Kita perlu realistik. Dalam Umno, kita mestilah konsisten dan kita mesti mengimbangi dengan keperluan dan tuntutan rakyat, "katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan Hishammuddin berkata bahawa Umno tidak pernah sesekali menghalang para perwakilan membahaskan isu sensitif di Perhimpunan Agungnya.
Beliau berkata Umno sentiasa terbuka menerima apa jua pandangan dan cadangan perwakilan daripada akar umbi selaras dengan Program Transformasi Politik (PTP) yang diilhamkan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita tidak pernah mengenakan sekatan terhadap sebarang topik yang akan dibahaskan perwakilan, ia tidak pernah menjadi sebahagian daripada amalan atau dasar parti ini.
"Tidak ada kekangan daripada dahulu lagi tetapi jurucakap-jurucakap (pembahas) kita yang sayangkan parti tidak mungkin akan gunakan platform (perbahasan) untuk memecah-belahkan parti, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita nak berdepan dengan pilihan raya umum," katanya dalam sidang akhbar khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 hari ini.
Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2011, memaklumkan pihaknya telah menerima sebanyak 617 usul daripada 191 Umno bahagian yang telah bermesyuarat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 572 usul berkaitan dengan jabatan dan agensi kerajaan telah dihantar untuk perhatian kementerian berkaitan manakala baki 45 usul lagi adalah usul yang berbentuk sokongan kepada usaha kerajaan dan parti, yang diterima tanpa dibahas.
Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan berlangsung selama lima hari bermula Selasa depan, katanya, menumpukan kepada tiga usul utama iaitu perbahasan ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul pendidikan, sosial dan agama.
Menurut Hishammuddin, kalau dipecahkan mengikut kategori pula, dua usul adalah yang melibatkan pindaan perlembagaan, politik (116), ekonomi (24), agama (78), sosial (44), pendidikan (115) dan lain-lain (193).
Kepada soalan sama ada semua usul politik lebih menjurus ke arah persiapan pilihan raya umum ke-13, beliau berkata kebanyakannya berkisar hal dalaman parti.
"Kita kena faham, usul-usul yang dibawa oleh Umno bahagian pada ketika itu tidak ada tekanan yang mendesak mengenai pilihan raya umum ke-13. Tetapi hari ini bila kita nak bincangkan usul perhimpunan agung, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa mungkin ini adalah perhimpunan agung yang terakhir.
"Kita kena pastikan suara Umno bukan sahaja dapat didengari tetapi mestilah suaranya padu dan memahami apa yang dituntut oleh pucuk pimpinan," katanya.
perwakilan membuat teguran secara sopan dan berhati-hati bagi mengelakkan ia dijadikan isu oleh pembangkang, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kenyataan bekas Presiden Umno itu hanya merupakan ingatan kepada anggota parti.
"Saya percaya Tun sayang kepada parti dan selalunya perhimpunan agung, ianya satu detik masa yang penting untuk Umno setiap tahun. Saya merasakan Tun terpanggil untuk mengingatkan perwakilan apa sebenarnya tanggungjawab dan tugas kita.
"Mereka (perwakilan) datang ke Kuala Lumpur termasuk saya sendiri adalah mewakili ahli-ahli kita di bawah sana dan bukan untuk diri sendiri. Sebab itu tanggungjawab dan amanah itu perlu dipikul dengan bersungguh-sungguh. Itu agaknya ingatan Tun kepada kita," katanya.
Mengulas mengenai terdapatnya diskriminasi terhadap pengamal media khususnya media alternatif oleh Umno, Hishammuddin berkata Umno tidak pernah menyekat mana-mana organisasi media untuk membuat liputan perhimpunan agung parti itu.
Katanya, Umno berbeza dengan pembangkang, yang menyekat mana-mana media daripada membuat liputan jika mendapati media berkenaan tidak memihak kepada mereka.

