Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa permit untuk siri ceramah yang dirancang untuk diadakan sepanjang tiga hari di Johor telah dibatalkan.

Malah, pihak berkuasa tempatan di negeri itu juga didakwa telah diarahkan untuk bertindak keras ke atas penganjuran ceramah berkenaan, kata Azmin lagi.

NONE Azmin ( tengah, bersongkok ) mendakwa, arahan berkenaan telah dikeluarkan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Arahan berkenaan termasuk untuk merampas semua bendera yang telah dipasang di kawasan ceramah sejak beberapa hari lalu.

"Mereka juga diarah untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk membatalkan semua permit.

"Ada beberapa kawasan telah mendapat permit untuk adakan ceramah, tapi pada saat akhir polis telah membatalkan semua permit yang dikeluarkan, katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di kongres berkenaan hari ini, Azmin berkata PKR bagaimanapun akan meneruskan program ceramahnya.

PKR merancang untuk mengadakan 15 hingga 20 ceramah setiap malam di lokasi terpilih di serata negeri itu, sehingga kongres berakhir pada Ahad.

Polis JB nafi

Dalam pada itu, ketua polis Johor, Deputi Komisioner Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff ketika dihubungi menafikan dakwaan bahawa semua permit berkenaan telah dibatalkan.

police polis logo Beliau memberi contoh, ceramah PKR di Taman Daya, Johor Selatan yang dijadualkan pada malam ini masih mempunyai permit.

Sepanjang pengetahuannya, hanya satu permohonan permit ceramah berkenaan yang telah ditolak atas sebab keselamatan, kata Mohd Mokhtar yang turut menggesa Azmin supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya cadangkan kepada Azmin supaya hubungi saya dan beritahu permit ceramah mana yang telah ditarik balik dan siapakah pegawai yang membatalkannya... Kita sedia bekerjasama,” katanya lagi.