Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JKM: Hanya mangsa banjir tulen dapat bantuan
Diterbitkan:  Nov 27, 2011 3:58 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan memastikan hanya mangsa banjir yang didaftar dan tulen sahaja diberi bantuan di bawah skim bantuan bencana alam.

    

Pengarahnya Md Noor Chek berkata jabatan itu membuat pemantauan di semua pusat pemindahan banjir bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan kerajaan.

    

"Bantuan hanya untuk mangsa banjir tulen yang berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam peringkat jajahan," katanya kepada Bernama ketika melawat kawasan banjir di Machang hari ini.

    

Beliau diminta mengulas mengenai laporan bahawa mangsa banjir yang tidak tinggal di pusat pemindahan tetapi mendaftar sebagai mangsa banjir untuk mendapat bantuan daripada JKM.

    

"Kita sentiasa membuat pemeriksaan mengejut ke pusat-pusat pemindahan yang diwartakan bagi memastikan tidak wujud mangsa banjir yang cuba mengambil kesempatan itu," katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Wan Mansor Hamzah dalam kenyataannya semalam berkata ada pusat pemindahan yang merekodkan jumlah mangsa banjir hampir mencecah 1,000 orang, tetapi setelah pihaknya membuat pemeriksaan kesihatan hanya kira-kira 200 sahaja yang ditempatkan di pusat itu.

Md Noor berkata jabatannya membuat penyelidikan dan semakan semula jumlah mangsa pemindahan banjir dengan mendapat perakuan dari Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Alam daerah sebelum menghulurkan bantuann kepada mangsa terbabit.

    

Menurutnya pihaknya sedia bertolak ansur dengan memberi bantuan kepada mangsa banjir yang tinggal di rumah jiran mereka yang dianggap selamat secara berkumpulan dan mereka mendapat kemudahan sama dengan mereka yang tinggal di pusat pemindahan yang diwartakan.

    

Bantuan yang diberikan termasuk selimut, makanan dan kerperluan lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS