Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin mengingatkan perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2011 agar menegur pemimpin parti secara berhemah ketika perbahasan.

Beliau berkata perwakilan perlu menggunakan kaedah seperti peribahasa Melayu 'pukul anak sindir menantu' kerana teguran yang ditujukan adalah untuk mereka yang berada dalam satu keluarga yang besar.

Badruddin Amiruldin "Jadi kalau kita nak pukul anak kita pun, kita tak pukul di khalayak ramai. Kita bawa  pulang ke rumah. Dalam keluarga besar seperti Umno pun begitu juga," kata Badruddin, yang terkenal dengan celoteh berunsur sinis dan jenaka ketika menjadi pembahas dahulu.

Seramai 5,447 perwakilan menghadiri perhimpunan agung parti kali ini yang terdiri daripada 2,627 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh  negara, 944 perwakilan Wanita, 942 Pemuda dan 934 Puteri.

Badruddin berkata beliau menggunakan kaedah sedemikian semasa berbahas ketika menjadi perwakilan dahulu.

Di dalam teguran itu, katanya, walaupun mempunyai unsur lawak jenaka namun pemimpin tahu dan faham teguran itu ditujukan kepada mereka.

"Siapa yang makan cili beliaulah yang merasa pedasnya...begitulah," katanya.

Badruddin berkata beliau kadangkala membuat jenaka memandangkan perwakilan pada ketika-ketika tertentu merasa letih atau tertidur selepas berjaga larut malam bertemu rakan-rakan dalam parti dari seluruh negara.

"Tetapi ia (lawak jenaka) tidaklah berlebihan sangat," katanya.

Katanya berdasarkan senarai yang diterimanya, pembahas-pembahas yang dipilih adalah berpengalaman.    

"Kita harap apa juga isu yang dibawa perlulah membawa kebaikan kepada parti, negara dan agama," katanya.

- Bernama