Tok Pa: Orang Melayu perlu terus kerja kuat
Orang Melayu masih perlu bekerja keras untuk meningkatkan status ekonomi mereka, terutama bagi meningkatkan pegangan ekuiti dalam sektor korporat, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata walaupun pelbagai kejayaan diraih orang Melayu daripada segi ekonomi dan pendidikan hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), hakikatnya mereka masih perlu terus berusaha.
Pada 2008, pemilik bumiputera dalam saham modal pada nilai tara berada pada 21.9 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan 30 peratus.
Ketika ditemui Bernama di sini, Mustapa berkata Umno akan terus berusaha menambah bilangan profesional Melayu yang mampu menyumbang ke arah kemajuan negara.
Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu berkata dengan perjuangan Umno selama ini, tiada siapa dapat menafikan bahawa kedudukan ekonomi dan pendidikan orang Melayu dan bumiputera adalah jauh lebih baik pada masa ini.
Katanya ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dengan mencatatkan kadar pertumbuhan purata negara sebanyak 5.1 peratus pada tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sementara kadar pengangguran sekitar 3.1 peratus.
Apabila ekonomi negara berkembang, semua rakyat Malaysia akan menikmati peluang dan kedudukan Bumiputera juga akan terpelihara, katanya.
- Bernama

