Umno S'gor disaran menangi hati pengundi bandar
Umno Selangor disaran mempergiatkan program di kawasan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang dan Gombak untuk memenangi hati pengundi atas pagar terutama profesional Melayu.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti
Teknologi Mara, Datuk Ramlah Adam berkata kawasan tersebut kelihatan sepi tanpa aktiviti secara berterusan.
Andainya golongan atas pagar ini berasa marah sebelum ini, selepas empat tahun kemarahan itu mungkin sudah berkurangan ekoran kesungguhan kerajaan melaksanakan program-program transformasi.
Misalnya, Belanjawan 2012 nampaknya menyejukkan hati rakyat terutamanya soal bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk juga pelajar-pelajar sekolah swasta dan Sekolah-sekolah Agama Rakyat, kata pemerhati politik itu kepada Bernama.
Pada pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 54 pada pilihan raya umum 2004.
Ramlah juga berkata adalah penting bagi sayap Umno khususnya Pemuda dan Puteri menjalankan lebih banyak aktiviti bagi mendekati pengundi terutamanya golongan muda untuk menyokong Umno.
- Bernama

