Usaha tranformasi yang dibawa perdana menteri jauh berbeza dengan konsep reformasi yang dilaungkan pembangkang, kata seorang perwakilan Umno.
Mengambil peluang menjelaskan perkara itu dalam perhimpunan agung Umno, wakil Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, tranformasi bermaksud perubahan tanpa meninggalkan roh Melayu Islam.
"Tetapi reformasi (pembangkang) yang cuba dibentuk, buang yang lama, dengan tiang-tiang seri hilang. Tak boleh balik pada asal.
"Laki-laki zip di depan, perempuan di rusuk. Bila reformasi, lelaki perempuan zip bertukar," katanya sinis dan disambut gelak ketawa kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati.
Berucap ketika membentangkan usul membahas ucapan dasar presiden, Mohd Alwi yang sering berseloroh dalam ucapannya turut menjadikan watak terkenal dalam filem Tranformer sebagai misalan menjelaskan maksud tranformasi.
"Kalau orang tanya tranformasi itu apa, (ia) macam Tranformer, macam Megatron. Bila diserang dia berubah jadi kapal terbang," katanya membuatkan dewan tidak kering gusi.
Mengambil contoh dari sejarah Islam pula, Md Alwi berkata usaha tranformasi kerjaan yang dijalankan mengambil iktibar dari kisah penukaran kiblat Islam dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram.
"Ini tranformasi. Masjid al-Aqsa tetap tidak berubah sebagai kota suci umat Islam. Ia tidak ditinggalkan," katanya, kali ini dengan nada serius.
Anggota Umno Ketereh itu juga mengambil kesempatan membangkitkan isu air yang didakwanya tidak selesai sehingga kini.
"Ada syarikat tekstil nak datang tetapi tak jadi. Sebabnya kain kalau putih akan jadi kelabu, kalau kelabu jadi hitam," sindirnya.
Katanya, antara masalah awal pengurusan air Kelantan apabila ia didakwa diswastakan pada syarikat air luar negara.
