Datuk Seri Najib Razak berkata perjuangan Umno kini menjurus ke arah menghayati pemikiran baru masyarakat Malaysia yang semakin kritikal dan meningkat harapan mereka terhadap kerajaan.

NONE Perdana Menteri berkata bagi tujuan itu, adalah penting bagi Umno mendekati golongan muda serta menguasai media baru, kerana menurutnya, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan semasa pilihan raya.

"Jadinya untuk terus kekal, Umno perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda supaya parti kita difahami," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Umno Menjuarai Transformasi" pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur hari ini.

Najib berkata sejak penubuhannya pada 1946, Umno telah memainkan peranannya sebagai "game-changer" atau ejen perubahan bagi menerajui transformasi terhadap landskap politik nasional.

"Jika Umno tidak memahami realiti baru landskap politik nasional, bagaimana Umno dan BN mahu berjaya? Mahu tidak mahu, suka tidak suka, Umno harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan (dalam pilihan raya).

NONE "Ia berupaya mendatarkan "the playing field" (pentas pertandingan) atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Orang Umno wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti," katanya.

Dalam ucapannya kira-kira satu jam lima minit itu, Najib turut menyingkap kronologi 10 detik yang telah menjadikan Umno sebagai ejen perubahan sejak 1946 sehingga 2011, dalam melakukan transformasi terhadap negara ini.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, Najib berkata Umno selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lepas malah semestinya menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Beliau berkata Umno juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi bagi menarik sokongan mereka dan tidak boleh bersikap atau dilihat sebagai bersikap angkuh dan sombong.

NONE "Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita," katanya.

Najib berkata Umno dan BN, sebagai parti pemerintah telah memulakan program tranformasi yang kesebelas iaitu Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memperbaiki penyampaian sektor awam manakala Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta hala tuju pusingan akhir ke arah mencapai wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

Seterusnya, beliau berkata diperkenalkan Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara keselamatan kebangsaan dan kebebasan individu dan disusuli

Program Transformasi Luar Bandar bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman di samping Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah gagasan 1Malaysia.

"Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara  hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu 1Malaysia  dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA," katanya.

NONE Najib berkata anggota parti mesti insaf dan jika Umno masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi "gamechanger" serta tidak pula mengambil langkah merangka semua "gameplan" yakni gerakan terancang, maka parti bakal menempah tragedi.

"Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri.

    

"Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya," katanya.

Oleh yang demikian, Najib menggariskan lima kekuatan teras yang membolehkan Umno menghadapi apa pun "badai dan mehnah yang merempuh parti" sama ada bersifat dalaman mahupun luaran.

Beliau berkata Umno perlu mempunyai keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru dan mengamalkan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) dalam semua bidang sama ada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

NONE Katanya Umno juga sentiasa mengulungi idea bernas dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat di samping perlu meletakkan kebajikan rakyat di atas segala-galanya.

"Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat," katanya.

Presiden Umno itu juga berkata, kebolehan Umno juga ialah berupaya mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji berbanding sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Najib berkata anggota Umno juga perlu mempunyai sifat dan ciri-ciri bukan hanya sekadar sebagai anggotanya sahaja tetapi perlu menjadi orang Umno yang tergambar perwatakannya melalui tindak-tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

Beliau berkata anggota Umno juga perlu menjadi orang yang taat dan setia kepada parti dan tidak akan sekali-kali mengkhianati parti.

Katanya nilai kedua yang perlu ada di kalangan anggota Umno ialah cinta dan kasih kepada perjuangan parti serta tidak takut dan gentar untuk menyuarakan pendapat dan pada masa yang sama sedia mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

NONE "Orang Umno itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang Umno," katanya.

Najib juga melahirkan rasa syukur kerana mempunyai timbalan presiden yang setia,  barisan naib presiden yang taat, pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendukung perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, anggota Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga dan khususnya anggota Umno yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

- Bernama