Pemimpin parti Umno mesti bersedia mengundurkan diri daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika menganggap diri mereka bukan calon yang boleh menang (winnable candidate).

Ketiga-tiga naib presiden Umno pada sidang akhbar bersama berkata mereka juga bersedia memimpin melaui teladan dengan berundur secara terhormat jika ahli dan rakyat merasakan khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

Sehubungan itu, ketiga-tiga  naib presiden Umno meminta wakil rakyat parti itu mencontohi ADUN kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang menawarkan diri untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), bagi memberi laluan kepada calon boleh menang.

NONE "Kami terima SMS daripada Datuk Seri Idris Jusoh yang menyatakan bahawa beliau bersedia untuk tidak menawarkan diri dalam PRU ke-13 nanti dan ini satu contoh yang baik," kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media bersama rakan sejawatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jika tindakan itu dicontohi wakil rakyat lain, maka mudahlah untuk Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan dan mengelak lebih ramai yang berkecil hati.

"Presiden parti tidak mahu meletakkan parang yang tajam untuk memenggal leher orang yang tidak lagi boleh memberikan kemenangan kepada parti, namun kita sendiri mesti lakukan muhasabah pada diri. Kalau kita tidak boleh memberikan kemenangan kepada parti lagi maka kita perlu mengundurkan diri," katanya.

NONE Hishammuddin pula berkata, wakil rakyat sedia ada perlu melihat sejarah pemimpin tertinggi Umno seperti Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sanggup berundur ketika di puncak bagi memastikan kelangsungan parti.

"Jadi ini bukanlah satu perkara yang unik kerana tunjuk ajarnya pun ada dan ia boleh dilihat kepada sejarah orang-orang Umno yang sayangkan dan cintakan parti iaitu di peringkat kepimpinan yang tertinggi," katanya.

Shafie pula berkata, dalam keadaan landskap politik masa kini, keadaan jauh berubah dan memerlukan anggota Umno melakukan pengorbanan berbeza demi kelangsungan perjuangan parti.

"Maknanya bila sampai masanya, cinta kita dan sayang kita pada parti berterusan, perkhidmatan kita juga berterusan sama ada di depan atau pun sebagai penyokong...yang penting kuasa kita kekal bawah Barisan Nasional," katanya.

idris jusoh and terengganu Idris, 56, adalah bekas Ahli Parlimen Besut yang dimenanginya pada PRU 1995, dan pada PRU 1999 beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Raja namun tewas.

Pada PRU 2004 beliau bertanding di kerusi DUN Jerteh dan menang serta dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke-12. Beliau mengekalkan kerusi itu pada PRU 2008.

Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno hari ini secara halus meminta perwakilan mencontohi sifat Rasulullah, Khalid al-Walid yang taat mengundurkan diri sebagai panglima perang apabila diarah khalifah, dan bekerja sebagai tentera biasa sekalipun tidak pernah tewas dalam sebarang peperangan.

- Bernama