Umum awal calon 'winnable' supaya rakyat boleh nilai
BN wajar mengambil pendekatan baru dengan memperkenalkan 'calon boleh menang' lebih awal pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata pemerhati politik.
Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia Sivamurugan Pandian, berkata langkah itu akan membolehkan rakyat mengenali lebih awal dan menilai calon yang dipertaruhkan BN bagi mewakili kawasan mereka.
"...ini membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat maklum balas mengenai tahap kebolehan 'winnable candidate' (calon boleh menang) itu untuk menang pada pilihan raya," katanya, hari ini.
Sivamurugan berkata, ini kerana calon boleh menang bukan sekadar diterima parti masing-masing, tetapi lebih penting mereka diterima rakyat.
Katanya, pengumuman awal juga dapat mengatasi budaya "mencantas" kerana langkah itu membuka ruang untuk rundingan.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang turut bersetuju dengan saranan itu berkata, pucuk pimpinan boleh memilih sekurang-kurangnya du calon boleh menang bagi setiap kawasan.
Selepas itu, katanya, jentera parti boleh melakukan penilaian awal siapa paling digemari rakyat dan mempunyai peluang untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
"Apabila nama mereka (bakal calon) diumumkan awal, rakyat boleh menilai mereka dan akhirnya seorang yang terpilih sebagai calon itu sememangnya mempunyai rating yang tinggi untuk menang," katanya.
Selain itu, Mukhriz berkata, pucuk pimpinan juga boleh mendapat maklum balas lebih awal jika terdapat unsur sabotaj, sekali gus mempunyai masa untuk membaiki keadaan.
Beliau juga pengumuman awal memberi kelebihan kepada calon terpilih kerana memberi lebih banyak masa untuknya memikat hati pemimpin parti peringkat bahagiannya dalam usaha mendapatkan kerjasama penuh mereka.
Sementara itu, perwakilan Kedah, Datuk Md Jali Lateh berkata, unsur mencantas mungkin wujud jika senarai calon lewat diumumkan.
"Ramai di kalangan wakil rakyat sekarang tetap akan mengaku bahawa mereka adalah 'winnable candidate' dan mungkin sukar bagi mereka untuk menyerahkan tempat kepada orang lain, terutamanya jika calon itu bukanlah dari kalangan pemimpin kawasan mereka," katanya.
Beliau mencadangkan senarai calon boleh menang itu diumumkan sebulan sebelum pilihan raya diadakan.
- Bernama

