Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengetuai ikrar taat setia kepada parti, antaranya menolak hasad dengki sesama anggota, bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kami orang Umno, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi," lafaz Muhyiddin sambil diikuti perwakilan yang menggemakan dewan besar di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).

Usaha itu dilihat bagi memastikan budaya cantas mencatas yang cuba dibendung habis-habisan dalam perhimpunan 'terakhir' sebelum pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.

Pendekatan itu juga dilihat hampir sama dengan bai'ah yang diamalkan dalam parti lawan PAS apabila setiap calon bertanding bersumpah dengan nama Allah untuk taat setia.

Ikrar taat setia itu berbunyi:

"Kami orang UMNO, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Kami orang UMNO berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.  

Kami orang UMNO bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.   

Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti."

Sumpah itu juga menyebut mereka "orang Umno" memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

Antara lain dalam sumpah itu, mereka berikrar memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada presiden untuk memimpin mencapai kemenangan besar.

Sejurus selepas itu, beliau juga membaca doa "rabitah" atau memohon kekuatan daripada Allah.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya juga yakin parti itu akan menang besar dan mendapat kembali penguasaan dua pertiga di parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, tambahnya, terdapat tujuh syarat yang perlu dipatuhi terlebih dahulu.

Ia antaranya, bersatu, bersetia pada parti, berkidmat untuk parti dengan sepenuh hati, berkorban apa saja, berusaha gigih, reda jika tidak terpilih menjadi calon dan sentiasa bertawal.

"Jika kita bersungguh-sungguh mengamalkan ramuan-ramuan ini, insya-Allah parti kita Umno akan menang besar, sekurang-kurangnya dengan majoriti dua pertiga.

"Target kita mesti tidak kurang majoriti dua pertiga," katanya lagi.