Mampukah Najib tukar persepsi negatif Umno?
Umno mempunyai cukup produk untuk memenangi pilihan raya – pemansuhan undang-undang, yang dianggap zalim seperti Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti, Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri serta penambahbaikan sistem pilihanraya termasuk penggunaan dakwat kekal.
Begitu juga dengan pengenalan pelbagai program untuk rakyat miskin seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, dan sebagainya berserta dengan pelan-pelan transformasi ekonomi yang menjanjikan lonjakkan negara menjadi sebuah komuniti berpendapatan tinggi.
Namun, Umno juga mempunyai “bagasi” yang boleh membawa kepada kekalahan atau seperti kata Perdana Menteri, menempa tragedi pada pilihan raya.
Imej Umno sebagai parti yang dibelit rasuah, penyelewengan kuasa dan kronisme kerana keterlanjuran lalu yang sarat hanya perlu “dikipas sikit” dengan isu-isu seperti Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) untuk membakar sentimen rakyat mengundi pembangkang.
Pilihanraya umum ke-13 akan menguji sejauh mana Datuk Seri Najib Razak berjaya memimpin Umno keluar daripada lubuk lama dan memasuki ke era baru yang mendakap pembaharuan-pembaharuan ekonomi, sosial dan politik yang dipeloporinya.
Mungkin ramai tidak dapat menggarap erti ungkapan transformasi yang menjadi teras setiap program Najib.
Asal usul perkataan yang dipinjam daripada perkataan Inggeris - transformation - bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperjelaskan.
Tidak adil
Namun, secara mudah – transformasi yang dibawa oleh Najib bermakna
- Mulai tahun depan mahasiswa boleh berkecimpung dalam politik dan menjadi ahli parti politik
- Rakyat Malaysia dan parti pembangkang diberikan hak untuk menganjurkan bantahan dan protes tanpa perlu mendapatkan permit polis.
- Akhbar dan media lain tidak lagi perlu memperbaharui permit pada setiap tahun.
- Akta Keselamatan Dalam Negeri, Ordinan Darurat dan Akta Polis dipinda atau dimansuhkan sama sekali.
- Parlimen yang dikuasai oleh BN lulus penggunaan dakwat kekal untuk pastikan satu orang satu undi
Sudah tentu pembaharuan-pembaharuan ini sedikit sebanyak menghakis kempen pembangkang yang selama ini menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai zalim dan Malaysia mirip negara diktator dengan proses pilihan raya yang tidak adil.
Sebelum ini isu undang-undang menjadi modal politik ampuh pembangkang sehingga membolehkan mereka menjayakan tsunami politik pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Umno-BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Apabila Najib mula menangani isu-isu yang dibangkitkan bersabit undang-undang berkenaan, reaksi spontan pembangkang adalah membidas pembaharuan atau transformasi yang diperkenalkan sebagai tidak memadai, tidak ikhlas dan harus ditolak oleh orang ramai.
Risiko dicemuh
Bagi mereka, Najib harus memenuhi tuntutan mereka sepenuhnya atau menanggung risiko dicemuh dan dikeji secara berterusan.
Tidak ada sesiapa yang akan menafikan bahawa proses yang dimulakan oleh Najib bukanlah tanda noktah tetapi adalah permulaan kepada janji beliau apabila menjadi perdana menteri.
Tentunya Najib sedar banyak perkara lagi yang perlu dilakukan untuk pencerahan ruang-ruang hak, kebebasan dan demokrasi di negara ini.
Contohnya, melonggarkan lagi kawalan ke atas media arus perdana yang secara langsung atau tidak langsung dimiliki oleh parti-parti komponen BN.
Perbahasan juga akan berterusan sama ada masa sudah sampai untuk negara membuang sama sekali keperluan undang-undang yang membolehkan suspek aktiviti keganasan ditahan tanpa perbicaraan demi keselamatan orang ramai.
Sudah tentu ada badan-badan termasuk Majlis Peguam yang tidak berpuas hati dengan tahap pembaharuan yang dibawa Najib dan menuntut lebih banyak dilakukan walaupun dalam waktu singkat beliau menjadi perdana menteri.
Teguran dan kritikan sebegini biasa dalam mana-mana demokrasi, malah ia petanda demokrasi subur di negara ini walaupun ada lompong yang perlu diisi.
Ia tidak mengubah hakikat bahawa perdana menteri bukan sahaja mencanangkan slogan-slogan tetapi bergerak membawa pembaharuan yang membawa risiko tersendiri.
Najib sendiri berdepan dengan kumpulan-kumpulan dalam Umno yang khuatir beliau melakukan hara-kiri politik dengan melonggarkan hak penganjuran protes, memansuhkan Seksyen 15 AUKU dan menarik balik Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Namun segala kelebihan politik untuk Umno itu diketepikan untuk mendengar dan melaksanakan tuntutan rakyat.
Bertukar kapal
Tanpa meremehkan rasa tidak puas hati pihak tertentu, perkara asas yang perlu ditekankan ialah negara pimpinan Najib sedang melalui transformasi atau proses evolusi yang akan mengambil masa.
Persoalannya sekarang ialah sama ada rakyat yang menuntut perubahan itu bersedia menunggu pemerintah melengkapkannya atau bertindak “jump ship” (bertukar kapal) di tengah-tengah pelayaran.
Menjadi pembangkang di Parlimen jauh lebih mudah berbanding menjadi parti yang memerintah.
Pembangkang hanya memerlukan satu dua isu seperti skandal NFC atau kualiti barangan Kedai Rakyat 1Malaysia untuk membakar sentimen rakyat dan menenggelamkan segala pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan.
Ini mainan politik, jangan dipersalahkan pembangkang yang menggunakan hak mereka untuk cuba menguasai akal minda dan sentimen rakyat menerusi dakwaan-dakwaan dan tuduhan yang disebarkan menerusi alam siber.
Jangan juga diremehkan hak mereka untuk membawa pengundi mengimbau cebisan-cebisan sejarah tertentu kerajaan Umno-BN dalam usaha mewarnakan Najib sebagai seorang lagi pemimpin yang tidak membawa apa-apa perubahan.
Ujian Najib cukup getir – bagaimana untuk mengubah persepsi bahawa Umno adalah parti rasuah meskipun parti itu sekarang banyak melakukan perubahan dan mengorak langkah membuka ruang-ruang demokrasi negara.
Paling teruk
Persepsi itu, yang membuak dan menebal di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal ditangani oleh pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Harapan besar rakyat yang diletakkan ke atas bahu Pak Lah menyaksikan beliau menang besar PRU 2004 tetapi berkecai empat tahun kemudian, menyebabkan Umno-BN mengalami kemerosotan kemenangan paling teruk sejak 1969.
Beberapa kemenangan BN pada pilihan raya kecil serta pilihan raya negeri Sarawak sejak tahun lalu tidak harus memberi keselesaan kepada Umno.
Imej Umno masih menjadi isu utama. Sejauh mana Najib mempamerkan iltizam politik untuk “menyucikan” semula imej parti dan kerajaan dan bagaimana iltizam itu dipancarkan ke dalam lubuk hati pengundi akan memberi impak kepada keputusan pilihan raya.
Pada masa sama, kemampuan Umno dan kerajaan untuk menyerlahkan kepincangan Pakatan Rakyat, baik sebagai sebuah gagasan atau kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan akan turut memberi kesan.
Di sebalik kelantangannya membicarakan isu-isu rasuah, pemborosan dan penyelewengan kuasa, gagasan itu juga dibelit dengan masalah-masalah sama di negeri yang dikuasainya.
Di Selangor umpamananya, Menteri Besarnya belum menjawab pemberian projek-projek tanpa menerusi tender, dan imbuhan lumayan untuk pegawai-pegawai lantikan beliau serta program mesra rakyat yang gagal mencapai sasaran.
Justeru, Najib perlu pintar menggunakan produk-produk dan program pembaharuannya dan pada masa sama mempamerkan iltizam politik untuk penjenamaan semula Umno dan kerajaan pimpinannya sebagai bebas rasuah.
Pada masa sama beliau harus berada di barisan hadapan mendedahkan kepincangan pembangkang dan membuktikan retorik mereka adalah madah-madah manis semata-mata, yang gagal di laksanakan di negeri-negeri yang telah mereka tawan.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis / penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Jasbant Singh adalah seorang wartawan dan editor yang berpengalaman luas. Pernah berkhidmat di TV3, stesen televisyen antrabangsa Al-Jazeera dan juga dengan TV Selangor.

