Kami akan sokong BN, kata presiden persatuan Orang Asli
Orang Asli akan menyokong BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Majid Suhut.
Beliau berkata selama ini pun orang Asli setia menyokong BN.
"Kami sememangnya sentiasa setia dan sekiranya diminta pihak persatuan, kami sedia turun padang turun ke perkampungan orang Asli untuk meminta mereka mengundi BN," katanya kepada Bernama.
Terdapat kira-kira 141,000 orang Asli di Semenanjung dengan Perak mencatat jumlah tertinggi seramai 55,000 orang.
Majid menjelaskan dahulu lebih daripada 95 peratus orang Asli menyokong BN namun kini oleh kerana pihak pembangkang telah mempengaruhi mereka, ada orang Asli yang berpaling tadah.
"Ada juga Orang Asli atau rakan-rakan saya sendiri yang dijanjikan pelbagai jawatan dan sebagainya sekiranya kami menyokong pembangkang pada pilihan raya, ini menyebabkan mereka mula hilang pertimbangan," katanya.
Beliau berkata BN perlu memenangi hati orang Asli jika mahu menambah sokongan bagi menghadapi pilihan raya kali ini.
- Bernama

