Indeks Persepsi Rasuah yang didakwa menunjukkan gejala itu semakin berleluasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, menimbulkan perbincangan hangat di program wacana pilihan raya di Kota Bharu malam tadi.

Hinggakan ada di kalangan ahli panel wacana berkenaan diganggu dengan laungan dan herdikan oleh para hadirin yang tidak bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan berhubung indeks dikeluarkan badan pemantau integriti, Transparency International.

Isu berkenaan ditimbulkan oleh seorang pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang berkata, keadaan yang digambarkan melalui indeks berkenaan perlu menyebabkan ahli akademik bangkit untuk menyuarakan teguran.

"Jadi siapa mampu ubah negara ini? Saya kata peluang itu telah diberi kepada negara hari ini dan akademis diam kerana kita percaya kerajaan negara ini mampu untuk tunaikan tanggungjawab mereka.

"Saya kata kita, ahli akademik mesti ada dalam liga perdana, rasuah mesti dihapuskan," katanya lagi.

Seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat bagaimanapun berkata, perlakuan rasuah telahpun berkurangan selepas Najib mengambil alih pentadbiran apabila kerajaan memperkenalkan bidang keberhasilan utama (NKRA) dan juga program transformasinya.

Katanya, "indeks dalam Internet" itu mungkin hanya diterbitkan untuk melihat kejatuhan negara, katanya lagi disambut herdikan dan juga laungan tidak puas hati dari kira-kira 2,000 orang yang hadir.

Cubaan pensyarah UKM itu untuk menenangkan suasana dengan mengatakan "saya juga anak Kelantan" juga tidak membuahkan hasil, malah lebih menggamatkan dewan besar Balai Islam, Lundang itu lagi dengan pekikan para penonton yang rata-ratanya penyokong Pakatan.

Seorang lagi ahli panel, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution pula dengan sinis berkata Samsul perlu mengemaskini nota kuliah kepada penuntut universiti berkenaan.

"Dalam laporan terbaru, kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah masa (mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) tahun 2003 di nombor 37. Tiga bulan lepas Najib ambil alih jatuh nombor 60.

 

"Kenapa takut sangat dengan indeks ini?... Saya bimbang, katakanlah, bacaan indeks rasuah jatuh menjunam, tapi adakah orang akan diam bila dana untuk beli lembu, dibelanjakan untuk benda lain, untuk beli kondo, kereta mewah, beli tanah dan melancong?," soal Saifuddin.

Cubaan beliau untuk membangkitkan dakwaan penyelewengan dalam isu National Feedlot Corporation itu menyebabkan moredator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengemukakan soalan kepadanya berhubung perkhidmatan Pakatan di negeri Selangor.

Mohammad Agus berkata, ada orang yang mengatakan lampu jalan tidak terang malah rumput di tepi jalan juga ada yang tidak dipotong.

Saifuddin menyahut soalan berkenaan dengan berkata persoalan politik matang pada masa ini menuntut persoalan yang lebih besar berbanding soal longkang.

"Kita akui itu tugas kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan, tapi jangan isu itu mendahului isu penyelewengan atau salah guna kuasa," katanya disambut tepukan para hadirin.

Turut bercakap dalam program wacana anjuran kerajaan negeri Kelantan itu ialah timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.