Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Monorel Melaka fasa 2 dijangka siap Feb 2013
Diterbitkan:  Dec 13, 2011 8:42 AM
Dikemaskini: 12:46 AM

Pembinaan monorel pelancongan Sungai Melaka Fasa 2 bernilai RM21 juta dijangka siap Februari 2013 bagi meningkatkan bilangan pengunjung melihat keindahan Sungai Melaka.

ali rustam Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata projek sejauh 1.3 kilometer itu adalah sambungan kepada projek monorel fasa 1 yang dilancarkan pada 20 Okt tahun lalu yang menawarkan kepada pelancong untuk menyusuri dan melihat pemandangan Melaka dari monorel tersebut.

"Projek yang akan dilaksanakan ini menjadikan keseluruhan panjang trek monorel sejauh 2.9 kilometer dengan membuat satu pusingan lengkap," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Monorel Fasa 2 di Jalan Tun Mutahir di Melaka, semalam.

Beliau berkata perjalanan monorel yang bermula dari Taman Rempah itu akan melalui Jalan Bunga Raya, Jalan Tun Ali dan Jalan Tun Mutahir sebelum kembali semula ke Taman Rempah.

Mohd Ali berkata projek yang mendapat peruntukan sebanyak RM13.2 juta daripada Kementerian Pelancongan Malaysia itu akan dibangunkan oleh Agibs Engineering & Construction Sdn Bhd.

melaka monorail Beliau berkata projek monorel tersebut dilengkapi tiga stesen iaitu Stesen Hang Jebat, Stesen Hang Tuah dan satu stesen penyelenggaraan di persimpangan Jalan Tun Ali dan Jalan Tun Mutahir.

"Tujuan utama kita membina stesen penyelenggaraan bagi sistem monorel yang ada ini akan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD)," katanya.

Katanya perkhidmatan monorel itu mampu bergerak dengan kelajuan 15 kilometer sejam dan mengambil masa kira-kira 45 minit bagi melengkapkan satu pusingan mengelililngi Sungai Melaka.

british tourist trapped at melaka monorail Beliau berkata kerajaan negeri telah melantik dua jurutera dari China bagi membantu menyelenggara dan memantau masalah teknikal bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.

Perkhidmatan monorel pada masa kini digantung oleh SPAD sejak 30 Nov lalu, buat kali kedua sejak 1 Nov lepas ekoran kerosakan teknikal pada sistem pengendalian automatik monorel itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS