Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Bukit Naning tak pertahan kerusi pada PRU-13
Diterbitkan:  Dec 13, 2011 8:51 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

ADUN Bukit Naning Datuk Abdullah Md Ali mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ahli politik veteran berusia 68 tahun menjadi wakil rakyat pertama di Johor yang menyahut seruan pucuk pimpinan Umno untuk memberi laluan kepada calon-calon muda.

"Saya bersedia melepaskan kerusi DUN ini kerana ia adalah kerusi yang selamat bagi BN dan yakin ia boleh dimenangi oleh pengganti saya pada pilihan raya umum nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di Muar.

Abdullah, yang menjadi wakil rakyat BN sejak pilihan raya umum 2004,  berharap calon yang dikemukakan nanti bukan sahaja boleh menang di kawasan mudah tetapi boleh menang di kawasan lain juga.

Pada pilihan raya umum 2004, Abdullah mengalahkan calon PKR Kusni Simoh dengan majoriti 6,334 undi.

Beliau mengekalkan kerusi DUN tersebut dengan mengalahkan calon PKR, Elias Shamsir dengan majoriti 2,895 undi pada pilihan raya umum 2008.

Karier politik Abdullah bermula apabila beliau mengalahkan Datuk Dr Haris Salleh bagi jawatan Ketua Umno bahagian Bakri pada pemilihan bahagian pada tahun 2004 dengan majoriti 22 undi.

Beliau gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian itu apabila kalah kepada Datuk Saipolbahri Shuib semasa pemilihan Umno bahagian pada 2008 dengan majoriti 113 undi.

"Saya gembira sepanjang berhidmat selama dua penggal sebagai wakil wakyat, sekurang-kurangnya saya telah berjaya meningkatkan kemudahan asas termasuk masjid dan surau serta jalan-jalan kampung ke tahap lebih baik," katanya.

Beliau berharap, penggantinya kelak akan dapat meneruskan tanggungjawab bagi memberi keselesaan hidup rakyat di kawasan tersebut.

- Bernama

ADS