Pelajar lancar 'flasmob' tuntut kebebasan akademik
Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) akan mengadakan ‘Flashmob’ bagi menuntut kebebasan akademik.
Menurut pengerusinya, Ahmad Safwan Anang, pendekatan bantahan dalam senyap ataupun 'silent protest' di KL Sentral esok itu akan dilakukan dengan golongan pelajar memakai topeng muka sebagai gimik kebebasan akademik yang cuba disekat.
"Sekurang-kurangnya pihak kami mensasarkan kehadiran 100 mahasiswa bagi tujuan ini selain mempromosikan Himpunan Kebebasan Akademik yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 17 Disember nanti," kata Ahmad Safwan dalam kenyataan medianya.
Flashmob yang bertemakan "Bebaskan Akademik" ini adalah sebagai membantah terhadap kekangan akademik yang semakin parah sejak kebelakangan ini seperti kekacauan yang berlaku di sudut Pidato di UiTM Shah Alam tempoh hari.
Selain itu, kata Ahmad Safwan, ia juga adalah lanjutan insiden gangguan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya pada program Debat Akta Undang-undang Kolej dan Universiti yang diadakan di UM minggu lalu.
Menurut beliau lagi, aktiviti "flashmob" ini juga mendapat sokongan daripada seluruh gabungan mahasiswa di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

