Senator luluskan bil perhimpunan didakwa 'khianat'
Kumpulan masyarakat sivil KilltheBill.org yang giat berkempen untuk menghalang Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2012 menyatakan kekecewaan ke atas ahli Dewan Negara yang meluluskan undang-undang berkenaan hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu menyifatkan seramai 39 orang senator berkenaan sebagai "pengkhianat" kepada kebebasan yang dijamin perlembagaan.
Senator itu juga didakwa gagal melaksanakan tugas untuk menyemak dan mengimbangi keputusan Dewan Rakyat, menurut kenyataan itu lagi.
Rang undang-undang yang diluluskan Dewaan Rakyat pada 30 Nov lalu itu turut diluluskan Dewan Negara melalui undian belah bahagi dengan bantahan lapan senator pembangkang petang ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, penyelaras KilltheBill.org, Vienna Looi berkata pergerakan itu bagaimanapun akan meneruskan siri bantahan amannya ke atas undang-undang berkenaan.
"Kita akan tunjukkan bahawa rakyat tidak akan berdiam diri... Kita berharap untuk menghentikan rang undang-undang ini tetapi kita perlu realistik.
"Kita akan umumkan strategi kita untuk menentang rang undang-undang ini. Ini hanyalah sebahagian daripada perjuangan yang panjang," katanya lagi.

