Prestasi sektor pembankan diunjur sederhana tahun depan
Prestasi industri perbankan Malaysia dijangka sederhana tahun depan sejajar dengan ekonomi, kata Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Dr Yeah Kim Leng.
Beliau berkata pertumbuhan pinjaman dijangka berkurangan kepada sembilan peratus tahun depan selepas berkembang pada 12-13 peratus setahun pada 2010 dan 2011.
Yeah berkata pertumbuhan deposit diunjur menyusut sedikit kepada lapan peratus pada 2012 daripada anggaran 11.6 peratus kenaikan pada 2011.
"Walaupun margin faedah bank dan pendapatan bukan faedah dijangka mengalami tekanan yang disebabkan oleh persekitaran ekonomi dan perniagaan yang lebih mencabar, kami tidak mengharapkan sebarang pengurangan keuntungan yang teruk serta dalam kualiti aset mereka," katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Yeah berkata, strategi yang digariskan untuk industri perbankan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 akan memberikan petunjuk yang lebih kukuh bagi sektor berkenaan dalam jangka panjang dan meletakkan kedudukan industri ini pada kedudukan yang lebih teguh.
Beliau berkata sebahagian besar perbankan dan perkhidmatan kewangan Malaysia didorong oleh permintaan dalam negeri dan keadaan monetari.
Bagaimanapun, sejumlah besar pemacu-pemacu ini dipengaruhi oleh ekonomi luaran dan sejauh mana sentimen keyakinan pengguna serta pelabur telah terjejas oleh ketidaktentuan dalam ekonomi global.
"Seperti yang ditunjukkan oleh kebingkasannya semasa kemelesetan ekonomi pada 2009 dan dengan kekuatan kunci kira-kiranya yang meningkat dan mudah tunai yang banyak dalam ekonomi, industri perbankan pada kedudukan yang baik untuk mengharungi apa-apa masalah kredit global, kejutan kecairan dan pergolakan pasaran kewangan yang mungkin semakin bertambah pada 2012," katanya.
Yeah berkata bank-bank mungkin berdepan dengan cabaran-cabaran utama yang berkaitan dengan ketidaktentuan dalam persekitaran luaran, terutamanya peningkatan risiko kemelesetan berganda dalam ekonomi zon euro dan kesannya terhadap ekonomi domestik.
"Kelembapan lebih ketara dalam ekonomi domestik boleh meningkatkan kesukaran kewangan di kalangan isi rumah dan syarikat-syarikat yang berhutang dengan banyak, yang membawa kepada peningkatan dalam tunggakan pinjaman.
"Bagaimanapun, kami tidak menjangkakan kemelesetan global yang penuh pada 2012 dan ekonomi Malaysia secara umumnya dan industri perbankan terutamanya pada kedudukan yang baik untuk meredah gelombang tahun depan," katanya.
Beliau berkata antara faktor utama yang menyokong ekonomi tempatan dan industri perbankan adalah beberapa faktor positif yang menyokong penggunaan domestik dan pelaburan yang seterusnya menggalakkan aktiviti-aktiviti perbankan di negara ini.
"Ini termasuk pekerjaan yang stabil dan peningkatan pendapatan, penambahan pelaburan swasta, harga komoditi yang sederhana kukuh, kecairan dan simpanan sektor swasta yang tinggi, penambahan jumlah isi rumah berpendapatan pertengahan dan tinggi serta dasar kewangan dan fiskal yang akomodatif kepada pertumbuhan," katanya.
Yeah berkata isu berterusan dalam ekonomi maju serta krisis hutang zon euro yang berlanjutan telah meningkatkan daya tarikan kewangan Islam.
Mengenai risiko pendedahan bank-bank Malaysia di luar negara, Yeah berkata keadaan ekonomi global semasa yang tidak menentu tidak seharusnya menimbulkan bahaya entiti yang diurus dengan baik dan mempunyai modal yang kukuh.
Mengenai Maybank dan CIMB di Indonesia yang mungkin terpaksa menjual kepentingan mereka, Yeah berkata, jika ia tidak mengakibatkan kerugian, maka ia memberi sedikit kesan kewangan negatif kepada mereka.
"Mereka perlu menyusun semula strategi mengenai bagaimana untuk beroperasi dalam ekuiti baru dan rangka kerja kawal selia dan mungkin melihat ke negara-negara yang lebih menerima mereka untuk melaksanakan rancangan ke peringkat serantau atau antarabangsa," katanya.
Mengenai sama ada hala tuju kadar faedah akan menjejaskan pendapatan bank, beliau berkata ia tidak akan terlalu terjejas memandangkan margin faedah, atau penyebaran antara pinjaman dan kadar deposit, biasanya dikekalkan tanpa mengira arah perubahan dalam kadar dasar rasmi.
"Kesan ini juga bergantung kepada jumlah relatif tetap berbanding kadar pinjaman apungan dan di mana portfolio bank-bank dilindungi terhadap risiko kadar faedah," kata beliau.
Sementara itu, seorang penganalisis dari firma rumah, yang enggan namanya disiarkan, berkata perkembangan industri perbankan tempatan tahun depan akan banyak bergantung kepada persekitaran luaran.
"Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sederhana dan kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman juga sama.
"Persaingan bagi dana kekal sengit dan tekanan margin berkemungkinan kekal, "katanya.
Beliau berkata secara positif, sebahagian besar ekonomi Malaysia dipacu secara dalaman jadi ia mungkin lebih terlindung daripada kesan-kesan luar, sambil menambah bahawa, kadar pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi akan memberi sokongan kepada sistem perbankan.
Mengenai liberalisasi industri perbankan, beliau berkata, persaingan akan meningkat tetapi bank-bank Malaysia mempunyai modal yang cukup dan lebih daripada bersedia untuk menghadapi sebarang persaingan yang muncul.
Beliau menjangka kadar faedah kekal stabil sekurang-kurangnya bagi separuh pertama 2012.
- Bernama

