Lebih penggabungan dijangka dalam industri insurans
OSK Research Sdn Bhd menjangkakan lebih banyak penggabungan dalam industri insurans tempatan di masa depan.
Firma penyelidikan itu berkata syarikat insurans tempatan menjadi sasaran penggabungan dan pemilikan yang menarik bagi peserta asing, selepas Bank Negara Malaysia menaikkan had pemilikan asing kepada 70 peratus daripada 49 peratus.
"Pendapatan premium industri berada dalam aliran meningkat dan dijangka terus kekal, sama ada dalam tempoh baik ataupun sukar, berdasarkan kepada aliran sejarahnya," kata OSK dalam satu kenyataan hari ini.
Keseluruhannya, ia berkata, pertumbuhan pendapatan premium mempunyai hubung kait positif dengan indeks sentimen pengguna (CSI).
"Apabila perbelanjaan pengguna lemah berikutan aktiviti ekonomi yang perlahan, permintaan bagi produk insurans akan juga menjadi lemah.
"Bagaimanapun, risiko menurun itu dijangka diimbangi sebahagiannya oleh pelarasan menaik bank pusat bagi tarif insurans motor mulai 2012 hingga 2015, yang akan memberi manfaat kepada peserta insurans motor," kata firma penyelidikan itu.
OSK mengekalkan saranan "neutral" bagi sektor insurans kerana tiada pemangkin dalam waktu terdekat ini.
"Apabila sentimen pasaran menjadi lemah, pelabur cenderung melihat kepada saham defensif. Tetapi apabila pasaran bulis, mereka menyasar saham mewah yang lebih besar berbanding syarikat insurans," kata firma itu.
- Bernama

