Polis cadang inkues kes kemalangan Malathi
Polis akan mencadangkan satu inkues dijalankan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang jururawat di Jalan Residensi di sini 13 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata cadangan itu akan dibuat sekiranya keluarga mangsa, G. Malatihi, 24, masih tidak berpuas hati dan mendakwa kematiannya disebabkan disamun ekoran barangan berharga mangsa dilaporkan hilang dalam kemalangan terbabit.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, mangsa yang menunggang motosikal terbabas sendiri dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
"Hasil bedah siasat yang dikeluarkan pihak Hospital Pulau Pinang (HPP) juga mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana 'Severe Intra-Thoracic and Intra-Abdominal Injuries' akibat kemalangan," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.
Malathi dipercayai gagal mengawal motosikalnya dan terbabas di atas jalan berhampiran tempat kerjanya di Jalan Residensi ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gelugor.
Keluarga Malatihi semalam memberitahu akhbar bahawa mereka percaya kemalangan itu akibat ia diragut.
Gan berkata siasatan juga mendapati tiada kenderaan lain berada di tempat kemalangan pukul 8 malam itu.
- Bernama

