Menjelang tahun baru 2012, SIGMA (Sinergi Gerakan Mahasiswi) hadir dengan harapan baru buat wanita Malaysia dengan tema ‘Keunggulan Buat Wanita’ dan‘Selamatkan Wanita’.

Sehubungan itu, SIGMA bersama seluruh pengerusi halehwal wanita dan mahasiswi setiap kampus akan turun ke Dataran Merdeka esok untuk mengedarkan 2,012 kuntum bunga ros putih dan merah jambu kepada semua wanita yang ada di sekitar kawasan itu.

"Edaran bunga ros ini adalah simbolik kepada harapan besar daripada SIGMA kepada seluruh wanita Malaysia," kata pengerusi SIGMA, Rohayu Rusli.

"Ianya merupakan simbolik kepada kebangkitan wanita di Malaysia khususnya wanita muda Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, ianya juga membawa satu  mesej yang jelas bahawa "kita menginginkan wanita Malaysia ini unggul dilihat sebagai seorang wanita yang punyai jatidiri dan prinsip yang utuh."

"Kita juga mengharapkan tahun 2012 ini memberi  sinar baru buat wanita yang jauh daripada sebarang eksploitasi yang merendahkan martabat wanita.

“Jom bersama SIGMA, turun ke Dataran Merdeka jam 10 pagi esok, dengan tema “Keunggulan buat Wanita” dan jangan lupa berpakaian tema putih dan merah jambu,” jelasnya.