Insiden UPSI: Tubuhkan JK siasatan awam
PKR Johor memandang serius dan mengecam keras keganasan terhadap mahasiswa dalam himpunan kebebasan akademik di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada pagi 1 Januari 2012.
Kami menuntut kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khasnya, segera mengadakan pendengaran awam dan siasatan terbuka (open inquest) berhubung kejadian di mana Pengerusi BEBAS, Safwan Anang telah cedera dan 17 yang lain ditangkap.
Jawatankuasa siasatan awam itu hendaklah terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan NGO yang bebas; selepas siasatan dilakukan. Laporannya hendaklah diumumkan.
Kami percaya inilah pendekatan yang terbaik untuk menangani peristiwa ini.
Beberapa hari sudah, macam-macam berita dan kabar angin tersebar luas. Orang ramai menjadi keliru dan marah; timbul syak wasangka di kalangan sesetengah mereka.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua orang mahasiswa akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah tidak benar dan merupakan fitnah.
Safwan pula mendakwa dia telah dipaksa oleh polis untuk berbohong dan menandatangani dokumen yang menyatakan dia "cedera akibat jatuh".
Kedua-dua contoh di atas dengan jelas menunjukkan ‘fakta’ yang bercanggah dan mengelirukan.
Jika benar seperti yang didakwa ketua Polis Perak itu, maka si pembuat fitnah harus dikenalpasti dengan segera.Tetapi, jika dakwaan Safwan itu pula benar, maka implikasi buruknya terhadap masyarakat sudah tentu jauh lebih besar.
Sebab itulah kami menuntut supaya jawatankuasa siasatan awam ditubuhkan dengan segera untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan bagi semua pihak.
Penulis merupakan ketua penerangan PKR Johor.

