Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pelancaran parti STAR Sabah Jumaat lepas mungkin tidak disedari banyak pihak jika tidak kerana kenyataan yang dikeluarkan sekretariatnya pada petang Selasa.

    

Bagaimanapun, perkara yang paling menarik perhatian ramai ialah apabila kenyataan itu menyebut bahawa majlis pelancaran itu akan turut dihadiri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang diketahui ramai sedang giat berusaha untuk membentuk barisan pembangkang yang dianggotai parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum.

Selain kumpulan pendesak yang beliau ketuai, dikenali UBF, setakat ini, Jeffrey telah berjaya menarik Parti Maju Sabah (SAPP) dan sebuah lagi parti yang belum didaftarkan iaitu Usno Baru, untuk menyertai gabungan itu yang dinamakan Perikatan Borneo.

    

Terkini, gabungan itu dikatakan akan mendapat anggota baru, Parti Pembaharuan Negeri (STAR), yang ditubuhkan di Sarawak.

    

Penganalisis politik dan orang dalam parti itu berkata Jeffrey, yang juga bekas naib presiden PKR, cuba mendaftarkan UBF sebagai parti politik tahun lepas tetapi tidak berhasil.

    

Mungkin itulah sebabnya STAR bersetuju melebarkan sayapnya ke Sabah walaupun parti itu tidak aktif sejak sekian lama.

    

Ada pihak berkata parti itu bersetuju menjadikan Jeffrey sebagai pemimpin utamanya di Sabah, dan selepas itu menarik parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk pakatan dikenali sebagai "Perikatan Borneo Bersatu (UBA).

    

Pengulas politik percaya Jeffrey menjadikan UBF sebagai alat untuk membolehkannya diterima oleh STAR dan seterusnya menjadi pemimpin parti itu.

    

Bagaimanapun, penganalaisis politik berkata pembentukan sebuah lagi parti gabungan pelbagai etnik di Sabah, khususnya dalam kalangan parti pembangkang, akan hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu berikutan kecenderungan penggerak utama masing-masing untuk mengubah sokongan atau menubuhkan parti baru setiap kali menjelang pilihan raya.

    

Mereka akan bercakaran sesama sendiri, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    

"Mereka tak akan ada peluang untuk menang. Ini samalah dengan perpecahan yang berlaku dalam gabungan parti pembangkang sebelum ini. Pembangkang akan mengalami masalah besar apabila mereka berpecah," katanya.

    

Beliau berkata malah, banyak pihak percaya pembentukan pakatan pembangkang Borneo itu lebih merupakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan STAR-UBF memberi tumpuan untuk menarik undi masyarakat pribumi Sabah (Kadazan, Dusun dan Murut), manakala SAPP (Cina) dan Usno pula, melalui kerjasama mereka dengan SPF, berharap akan dapat meraih undi Bumiputera Islam.

    

Bagaimanapun, harapan itu sebenarnya tidak mudah dicapai seperti yang mereka impikan.

    

"Halangan terbesar ialah perbezaan yang wujud antara penduduk Sabah dan Sarawak. Dari segi budaya, mereka mungkin ada persamaan, tapi dalam kehidupan sosial, mereka berbeza. Keadaan politik juga amat berbeza antara kedua-dua negeri itu serta rakyatnya," katanya.

    

Sebelum ini, banyak pihak membuat spekulasi bahawa Jeffrey akan mengumumkan secara rasmi rancangan politiknya pada pertengahan bulan lepas iaitu semasa berlangsungnya perhimpunan sempena ulang tahun pertama penubuhan UBF di Kota Kinabalu. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku.

    

Beberapa pengulas politik berkata kehadiran presiden STAR Dr Dripin Sakoi, timbalan presiden SAPP Amde Sidek dan ketua sebuah kumpulan yang cuba menghidupkan kembali Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Datu Badaruddin Tun Mustapha di perhimpunan itu, membayangkan bahawa Jeffrey sudah hampir mencapai hasratnya untuk menubuhkan UBA.

    

Amde dilaporkan berkata mereka belum membuat keputusan tentang siapa yang akan menerajui pakatan itu walaupun mengakui isu itu adalah antara perkara yang perlu diselesaikan.

    

Setakat ini, jawatan yang akan disandang Jeffrey dalam UBA sekiranya penubuhannya menjadi kenyataan masih menjadi teka-teki memandangkan beliau bukan presiden mana-mana parti politik, manakala UBF pimpinannya pula hanya merupakan sebuah badan bukan kerajaan.

    

Dr Bilcher Bala berpendapat penubuhan sebuah barisan pembangkang yang dianggotai parti berasal dari Sarawak dan Sabah sukar berfungsi dengn baik kerana pandangan dan objektif masing-masing memang berbeza.

    

"Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kewujudan tiga dunia yang tidak pernah serupa -- Semenanjung, Sabah dan Sarawak," kata beliau.

- Bernama

ADS