Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Awal minggu ini, kerajaan negeri Selangor mengikat Memorandum Persefahaman dengan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) Universiti Teknologi Mara (Uitm).

dr xavier jayakumar official photo Menurut Exco Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar, memorandum itu akan membolehkan kerajaan negeri membantu melaksanakan aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan di  kampus UiTM.

MoU antara sebuah kerajaan negeri dan persatuan mahasiswa adalah sesuatu yang agak janggal, lebih-lebih lagi memandangkan kerajaan persekutuan mengeluarkan peruntukan begitu besar setiap tahun untuk kebajikan pelajar di setiap peringkat.

Namun dalam persekitaran yang ada sekarang, tindakan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu tidaklah harus dianggap sebagai terlalu mengejutkan walaupun motifnya mencurigakan.

Negara kini melihat semula kebangkitan mahasiswa menuntut pelbagai pembaharuan, khususnya  pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Bahawa kerajaan bersetuju memansuhkan Seksyen 15 Akta itu tidak memadai, malah rundingan-rundingan meja bulat anjuran Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan maklum balas terhadap AUKU dianggap tidak kredibel.

smm protest in sultan idris university 010112 05 Beberapa persatuan mahasiswa termasuk KAMI dan Soldariti Mahasiswa Malaysia mengambil langkah mengadakan tunjuk perasaan yang termasuk menurunkan bendera Perdana Menteri di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Pada ambang Tahun Baru 2012, kumpulan sama mendakwa mereka menjadi sasaran polis apabila mengadakan demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.

Segala tindakan kumpulan mahasiswa ini dipercayai didokong oleh parti pembangkang atas nama menyuburkan demokrasi di kampus dan memulihkan hak asasi pelajar di kampus.

Hakikatnya adalah mahasiswa sudah lama menjadi kumpulan sasaran parti-parti politik, baik Pembangkang atau Kerajaan. 

smm protest in sultan idris university 010112 amar ismail Darah muda dan tenaga mereka menjadi tarikan utama parti politik untuk bersaing dalam meniupkan ideologi masing-masing ke dalam sanubari mahasiswa.  

Namun penyusupan pengaruh parti-parti politik ini di kalangan mahasiswa dilakukan secara “diam-diam” kerana AUKU berkuatkuasa.

Meskipun demikian, saban tahun, universiti-universiti negara ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara pelajar pro-kerajaan dan pro-pembangkang untuk menguasai persatuan-persatuan mahasiswa.

Tidak kurang pula persatuan-persatuan mahasiswa yang ditubuhkan atas pelbagai nama dan alasan namun tanpa pengiktirafan universiti atau pihak berkuasa.

Percambahan persatuan-persatuan seperti KAMI dan Solidariti Mahasiswa Malaysia dan pelbagai lagi menjadi tapak semaian subur untuk parti pembangkang  menyediakan 'fixed deposit' atau 'simpanan tetap' mereka dalam menghadapi pilihanraya umum.

NONE Tuntutan persatuan-persatuan pelajar ini secara rasmi bebas daripada politik kepartian namun realitinya adalah jauh sebaliknya.

Penurunan bendera Najib di ibu pejabat Umno dan laungan-laungan slogan anti-Umno dan anti-kerajaan di perkarangan UPSI tempoh hari bukanlah politik matang mahupun bantahan secara berilmiah tetapi sekadar meniru gaya pembangkang.

Dalam konteks ini, tindakan pembangkang mengikat kerjasama secara rasmi dengan wakil-wakil mahasiswa seperti yang dilakukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan KAMI adalah petanda jelas pembangkang semakin ghairah memperkuatkan pegangan dan pengaruh mereka ke atas mahasiswa.

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Zambri Mohd Isa berkata jika kebajikan mahasiswa diutamakan, kerajaan Pakatan seharusnya tampil membantu semua persatuan pelajar dan tidak memilih bulu.

NONE “Kebimbangan kami ialah kerajaan negeri menerusi Pakatan Rakyat akan menggunakan segala bantuan untuk mendapatkan sokongan mahasiswa yang dilihat sebagai pro-pembangkang,” kata beliau yang dipetik portal Antarapos.com .

Pemeteraian MoU di antara KAMI dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat adalah persediaan Pembangkang untuk bergerak apabila AUKU dipinda dan mahasiswa dibenarkan menyertai parti politik.

Perjanjian atau MoU yang diikat dengan kumpulan mahasiswa  akan menjadi saluran penting untuk Pakatan bergerak bebas di kampus di atas nama “membantu warga universiti dalam menjayakan aktiviti-aktiviti mereka.”  

        

NONE “Ia merupakan pembuka jalan bagi hubungan erat antara persatuan mahasiswa universiti tersebut dengan kerajaan negeri di masa-masa yang akan datang," kata Dr Xavier pada majlis menandatangani MoU itu.

Bagi rakyat, ia juga masa untuk merasa gusar terhadap kemungkinan kampus universiti menjadi medan politik kepartian untuk membentuk 'simpanan tetap' politik dan bukan lagi untuk mengejar kecemerlangan akademik.    


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis / penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Jasbant Singh adalah seorang wartawan dan editor yang berpengalaman luas. Pernah berkhidmat di TV3, stesen televisyen antrabangsa Al-Jazeera dan juga dengan TV Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS