Utusan Printcorp Sdn Bhd, yang mengambil alih operasi Dawama Sdn Bhd pertengahan Disember lalu, menawarkan pekerjaan kepada 328 pegawai dan kakitangan yang diberhentikan pada 1 Sept lalu setelah syarikat itu berdepan kemelut kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dawama yang baru, Norhisam Mohamed Nor, berkata mereka menerima tawaran tersebut dan akan memulakan tugas secara berperingkat mulai Januari hingga Mac ini.
Pengurusan baru Dawama juga akan meneruskan tugas mencetak, menerbit, mengedar dan memasar buku serta majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaras pemberian kontrak oleh kerajaan mulai 2002 hingga 2014, katanya pada majlis penyampaian insentif kepada pegawai dan kakitangan syarikat itu di Kompleks Percetakan Dawama di Hulu Klang, semalam.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Mohd Nasir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Utusan Printcorp Sdn Bhd Badrol Hisham Mohd Noh.
Norhisam berkata pengurusan baru juga akan berusaha meningkatkan kualiti serta menambah baik perkhidmatan mencetak dan membekalkan buku teks serta pengedaran buku judul am.
"Kami mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan pengeluaran sebanyak 231 judul buku am dalam pelbagai peringkat akibat penamatan pekerja serta penerbitan buku teks 2012 sebanyak 53 judul baru telah dilaksanakan oleh DBP sendiri," katanya.
Norhisam berkata berikutan pengambilalihan itu, beliau difahamkan DBP telah menangguhkan tawaran kepada syarikat pencetak lain.
Selain itu, katanya, pengurusan baru Dawama kini dalam perbincangan untuk menggugurkan saman fitnah terhadap Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz.
Terdahulu, setiap pekerja syarikat itu yang diberhentikan menerima insentif RM800 sebagai bantuan membiayai persekolahan anak.
- Bernama
