Isu calon: PAS beri amaran kepada Saari Sungib
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran lisan kepada ADUN PAS kawasan Hulu Klang Saari Sungib supaya tidak mendahului parti dalam perisytiharan calon PAS
yang layak bertanding bagi pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hadi memberi peringatan itu kepada Saari (
kanan
) dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur Ahad lalu.
"Amaran lisan oleh presiden dan peringatan (adalah) agar (Saari) tidak mendahului parti dalam perisytiharan (siapa) yang menjadi calon dan (yang) tidak layak menjadi calon," kata Tuan Ibrahim dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.
Saari yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor sebelum ini dilaporkan memberi kenyataan bahawa Datuk Hasan Mohamed Ali yang juga exco kerajaan Selangor dan ADUN Gombak Setia kemungkinan tidak menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
Ia berikutan dakwaan alasan Saari bahawa Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor selama lapan tahun itu tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dari cawangan-cawangan.
- Bernama

