Wacana tembungkan bekas ketua SPR, tokoh PAS-BN
Wacana terkini membincangkan isu pilihan raya bebas dan adil dijangkakan mendapat sambutan hangat apabila membariskan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan dua tokoh politik terkenal PAS dan Umno.
Dalam program anjuran kerajaan Kelantan itu, beliau akan berkongsi pentas dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamamed Nazri Abdul Aziz (
kiri
) dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa untuk membicarakan tajuk "Pilihan Raya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?".
Isu-isu penting yang menjadi kritikan pembangkang seperti pembersihan daftar pemilih, hak mendapat liputan media yang tidak memihak, penggunaan dakwat kekal dan isu pengundi hantu dijangka menjadi topik hangat dalam program itu.
Selain itu, Abdul Rashid juga dijangka dihujani persoalan berbangkit berhubung isu-isu yang ditangani sepanjang lapan tahun menerajui SPR sehingga Disember 2008, antaranya berhubung penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir sebelum pilihan raya terakhir yang diuruskannya.
Isu lain yang ditunggu-tunggu berhubung laporan
Wikileaks
September lalu yang memetik bekas pemantau pilihan Mafrel Malek Husin sebagai berkata, Abdul Rashid (
kanan
) mengakui pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.
Abdul Rashid bagaimanapun memberitahu Malaysiakini beliau tidak mempunyai "maklumat yang ketara atau boleh dipercayai" bahawa dakwaan itu berlaku, justeru semua itu hanyalah "cakap-cakap" sahaja.
Selain itu, sepuluh syor jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya, antaranya meminda segera peraturan pilihan raya agar dakwat kekal boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13 turut dijangka dibangkitkan.
Ia ditambah lagi dengan perkembangan terkini apabila Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini dijangka mengeluarkan keputusan sama ada membenarkan dakwat kekal digunakan oleh orang Islam dalam pilihan raya.
Kehadiran Nazri pula penting bagi menunjukkan pendirian dan kesungguhan kerajaan bagi memastikan pilihan raya di negara ini benar-benar berjalan dengan telus dan bersih.
Wacana yang dipengerusikan oleh ahli akademiki terkenal Prof Madya Datuk Mohammad Agus Yusoff itu akan berlangsung esok di Kelantan Trade Centre Kota Bharu pada jam 9 malam dan terbuka kepada umum.

