Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor tiada halangan lulus pembinaan SMK Sg Ramal

Kerajaan negeri Selangor tiada halangan untuk meluluskan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat jika Jabatan Kerja Raya (JKR) memohon kebenaran merancang bagi pembinaan projek itu.

    

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali berkata JKR perlu mendapatkan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan sebelum kelulusan diberikan oleh pihaknya.

    

"Exco (Selangor) telah berbincang dan kami tiada halangan untuk meluluskan pembinaan itu, namun kami belum mendapat sebarang permohonan kebenaran merancang dari JKR untuk pembinaan sekolah di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini, memang JKR tidak perlu membuat permohonan (kebenaran merancang), tetapi untuk keadaan sekarang permohonan ini perlu dibuat agar segala syarat-syarat ditetapkan untuk proses pembinaan itu dipatuhi," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

    

Beliau mengulas aduan penduduk di kawasan itu, yang kecewa dengan tindakan kerajaan negeri mengarahkan pembinaan sekolah menengah itu dihentikan walaupun pembinaannya telah mendapat kelulusan kerajaan pusat.

Pada masa ini, hanya ada dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.

    

Halimah berkata pihaknya juga akan menjemput wakil Jabatan Pelajaran Selangor untuk meninjau tapak pembinaan sekolah terbabit bagi memastikan kesesuaiannya sebagai tapak sekolah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS