Tanggungjawab membaikpulih Pantai Irama di Bachok yang rosak teruk akibat ombak besar awal bulan ini tidak seharusnya dibebankan kepada kerajaan pusat semata-mata, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.
Beliau sebaliknya berkata, kerajaan PAS Kelantan juga harus bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan tidak seharusnya mengambil sikap lepas tangan.
"Pantai Irama hanya satu-satu pantai yang masih ada dan berpotensi menarik pelancong dalam dan luar negara selepas Pantai Cahaya Bulan (PCB) dekat Kota Bharu yang musnah berpuluh-puluh tahun lepas akibat hakisan ombak", katanya.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang meminta agar kerajaan pusat memulihkan keadaan di pantai tersebut.
Bercakap kepada pemberita ketika melawat pantai berkenaan hari ini Awang Adek berkata, kerajaan negeri sepatutnya berkongsi dengan kerajaan pusat untuk membina semula benteng yang musnah dalam kejadian itu.
Katanya, dalam usaha membaikpulih, peruntukan sehingga RM30 juta diperlukan.
Mengenai permohonan peruntukan RM20 juta oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan (JPS) bagi tujuan membaikpulih pantai itu, Awang Adek berkata beliau akan menelitinya dan akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
- Bernama
