Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ugut letup helikopter PM: Pelajar USM ditangkap
Diterbitkan:  Jan 15, 2012 8:16 AM
Dikemaskini: 2:21 PM

Polis menahan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kampus kejuruteraan selepas membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman blognya, di Georgetown hari ini.

Menurut Bernama , dalam kenyataannya pelajar terbabit dikatakan mahu meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke kampus itu minggu hadapan.

Pelajar terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob yang dihubungi mengesahkan perkara itu dan akan mengadakan sidang media mengenainya esok.

Sementara itu, Star Online , pula melaporkan pelajar berkenaan menulis: "Najib akan datang ke kampus kami ... mari kita bom helikopternya itu ...".

Portal itu juga memetik Ketua Polis Daerah Georgetown Gan Kong Meng berkata pelajar itu dibawa ke balai polis untuk disoal siasat pada kira-kira jam 1.30 tengahari tadi.

"Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Beliau sebelum ini dicekup di kampus di Nibong Tebal.

"Kes ini masih perlukan siasatan lanjut. Kami akan umumkan jika ada apa-apa perkembangan, " katanya dipetik Star Online .

ADS