Sokongan Cina terhadap BN di Johor masih utuh
Masyarakat Cina di Johor akan tetap memberikan sokongan mereka kepada BN pada pilihan raya umum akan datang berikutan kestabilan ekonomi yang berterusan di negeri ini, kata ahli parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad berkata, dakwaan sokongan masyarakat Cina di Johor sudah beralih kepada pembangkang adalah tidak benar kerana ia hanyalah mainan pihak pembangkang yang ketandusan isu.
"Masyarakat Cina di Johor akan terus memberikan sokongan kepada BN kerana kestabilan ekonomi yang wujud di Johor, ditambah pula dengan kejayaan pembangunan Iskandar Malaysia," katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia di Johor Baharu, hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai berkata demikian sebagai mengulas laporan portal berita baru-baru ini yang mendakwa kemungkinan pengundi Cina di Johor mengundi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Portal berita itu turut mendakwa, salah satu kawasan Parlimen di mana pengundi Cina dijangka beralih arah mengundi pembangkang adalah Pulai yang kini disandang oleh Nur Jazlan.
Katanya, hasil kajian yang dilaksanakan di Parlimen Pulai mendapati sokongan pengundi Cina terhadap BN masih utuh kerana masyarakat itu berkemampuan menilai sendiri projek pembangunan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
"Tiada sebab untuk masyarakat di sini beralih arah kerana mereka turut menikmati limpahan pembangunan yang berlaku di dalam Iskandar Malaysia, disamping keadaan keselamatan yang bertambah baik," katanya.
Menurut Nur Jazlan, jentera BN Parlimen Pulai telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.
Pada majlis berkenaan, seramai 200 orang yang berkelayakan daripada jumlah keseluruhan iaitu 2,794 orang menerima bantuan berkenaan manakala selebihnya akan menerima bantuan berkenaan secara berperingkat.
Katanya, pemberian BR1M ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk meringankan bebanan masyarakat terutamanya golongan yang tinggal di kawasan bandar raya seperti di Johor Baharu.
Pada masa sama, beliau turut menggesa penduduk di dalam kawasan Parlimen
Pulai yang berkelayakan tetapi masih belum memohon BR1M agar segera berbuat demikian sebelum tarikh tutup permohonan iaitu pada 10 Februari ini.
- Bernama

