Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti pelbagai aspek berhubung kes dakwaan penyelewengan dana kerajaan dalam Pusat Fidlot Nasional (NFC).

NONE Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata badan itu memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus sebelum laporan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut isu ini bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Media semalam melaporkan aset NFC dibekukan bagi membantu siasatan dakwaan berlaku penyelewengan dana kerajaan dalam projek yang turut dikaitkan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan pembekuan aset berkenaan turut meminta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, menjalankan kajian untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kes itu.

azlan Operasi pusat itu masih berjalan seperti biasa sekali pun aset syarikat dibekukan sejak tiga minggu lalu.

Isu NFC berbangkit berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lalu yang menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana terutama berkaitan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang.

 - Bernama