Kerajaan berhasrat melantik sebuah firma perunding perakaunan untuk menjalankan satu penelitian wajar dan audit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

muhyiddin yasin muhyiddin yassin Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi melindungi kepentingan kerajaan, firma perunding itu akan membuat penelitian dan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek tersebut.

"Tugasan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Muhyiddin, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) iaitu satu syarikat usahasama di antara Agroscience Industries Sdn Bhd dengan kerajaan telah diberi mandat sebagai integrator projek NFC.

Berikutan daripada itu, kerajaan memberi pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut dan setakat ini sejumlah RM181 juta telah dikeluarkan.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah mengatasi isu yang melanda Perbadanan Fidlot Kebangsaan ini dalam masa terdekat.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

- Bernama