Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar, hari ini menyifatkan tawaran RM5.50 bagi setiap saham Proton oleh DRB-Hicom Bhd sebagai harga yang berpatutan dan unit pelaburan kerajaan itu meraih keuntungan sederhana daripada penjualan itu.

    

NONE Isnin minggu ini Khazanah mengumumkan bahawa ia menjual 42.74 peratus kepentingan dalam Proton kepada DRB-Hicom pada harga RM5.50 sesaham.

    

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Azman berkata kos pelaburan bagi setiap saham Proton bukanlah RM8 seperti yang dilaporkan dengan meluas di akhbar-akhbar.

    

"Kos itu jauh lebih rendah daripada harga tawaran RM5.50," katanya, sambil menambah bahawa itu adalah "harga berpatutan" memandangkan hakikat bahawa harga saham Proton semakin turun dan berada di bawah paras RM3 sesaham sebelum pengambilalihan itu.

    

"Aspek kewangan bukanlah satu-satunya faktor yang kami pertimbangkan kerana kami mahu memastikan pembeli mempunyai wang yang cukup untuk membuat tawaran am serta menyuntik dana ke dalam Proton untuk memacu pertumbuhan selanjutnya dalam syarikat itu," katanya.

    

Azman juga berkata DRB-Hicom mempunyai rekod pencapaiandan perikatan yang baik dengan peserta-peserta global.

Mengenai Lotus

Mengenai sama ada unit Proton, Lotus, yang menanggung kerugian akan dijual,  Azman berkata, ia merupakan satu keputusan yang sama sekali terletak di tangan DRB-Hicom Bhd.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas kepada laporan-laporan yang mengatakan DRB-Hicom bersikap terbuka tentang penjualan Lotus.

   

Semalam, mantan perdana menteri dan penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata DRB-Hicom harus mempertimbang untuk menjual Lotus. 

Keuntungan naik 156.3 peratus

Sementara itu dalam taklimat media di ibunegara hari ini, Azman berkata, keuntungan sebelum cukai Khazanah Nasional Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2011 naik sebanyak 156.3 peratus kepada RM5.3 bilion daripada RM2.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

   

Cabang pelaburan kerajaan itu juga mengumumkan dividen sebanyak RM3 bilion.

   

Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar berkata prestasi hebat itu dirangsang oleh penjualan strategik terutamanya dalam menjadikan PLUS Expressways Bhd persendirian semasa tahun berkenaan.

   

"Khazanah membuat sebanyak 13 pelaburan berjumlah RM5.8 bilion pada 2011 dan lapan penjualan yang membawa hasil RM7.7 bilion, menjana keuntungan berjumlah RM2 bilion," katanya.

   

Beliau berkata jumlah portfolio pelaburan Khazanah susut sedikit dengan nilai aset direalisasi keseluruhan turun sebanyak RM4.5 bilion, atau empat  peratus kepada RM108.1 bilion sehingga pada 31 Disember 2011 (31 Disember 2010: RM112.6 bilion).

   

Pelarasan nilai bersih (NWA) portfolio pelaburan susut RM5.2 bilion, atau 6.9 peratus kepada RM70 bilion berbanding RM75.2 bilion sehingga 31 Disember 2010, katanya.

   

"Bagaimanapun, aliran menaik keseluruhan dalam portfolio sejak permulaan program transformasi pada 2004 kekal kukuh," kata Azman.

   

NWA portfolio pada RM70 bilion, katanya, adalah 110 peratus lebih tinggi berbanding permulaan program pada Mei 2004 dan 30 peratus lebih tinggi berbanding RM53.8 bilion pada akhir 2009.

   

"Penurunan dalam prestasi portfolio pada 2011 boleh dilihat dalam tiga syarikat portfolio yang terlibat dalam isu industri dan kawal selia - CIMB (ketidaktentuan kawal selia di Indonesia), Tenaga Nasional Bhd (pengurangan gas dan ketidaktentuan kawal selia lain) dan dalam penerbangan.

   

"Tanpa mengira perkara ini, portfolio mencatatkan pertumbuhan sederhana pada 2011," katanya.

   

Pada 2012, beliau berkata Khazanah akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan menjadikan institusi.

   

"Khazanah akan mengendalikan penjualan beransur-ansur dan teratur aset bukan teras dan pemegangan bukan teras di samping terus dengan penjualan  strategik syarikat-syarikat terpilih serta mengekalkan pengurusan berhemah dan liabiliti inovatif," katanya.

   

Beliau berkata 2012 akan merupakan tahun bagi Iskandar Malaysia dengan banyak projek pemangkin yang dijangka siap dan beroperasi termasuk taman tema LEGOLAND Malaysia.

   

Beliau berkata Khazanah berminat dengan lebih banyak pelaburan luar negara terutamanya di Indonesia dan India.

- Bernama