Teks penuh ucapan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri MUSA HITAM, ketika merasmikan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan Umno dalam bahagian Johor Bahru pada 19 Februari, 2000. Teks ini tidak disunting kecuali membetulkan beberapa ejaan. Bahagian ketiga dan terakhir esok bertajuk 'Budaya Umno pecah-belahkan kita'

Isu-isu yang dibangkitkan tidak boleh kita tepiskan begitu sahaja dengan hujah-hujah yang berpuluh tahun kita gunakan. Biarlah saya dengan terus terang membangkitkan isu-isu yang begitu berleluasa digunakan dalam pilihanraya lepas dengan sangat berkesan negatif kepada kita:

(1) Isu Anwar Ibrahim

Dari awal-awal lagi kita telah menyatakan bahawa isu Anwar Ibrahim tidak menjadi isu besar. Tetapi tiap-tiap kali kita mendengar pemimpin-pemimpin kita berucap berkempen, semakin kasar, semakin kerap Anwar Ibrahim dikecam dengan tidak berbatasan.

Kepada saya sendiri Anwar Ibrahim sememangnya tidak penting. Tetapi yang menjadi isu dan digunakan dengan begitu berkesan oleh parti-parti pembangkang ialah bagaimana dikatakan "zalimnya" kerajaan Barisan Nasional dengan cara-caranya mengheret Anwar ke lembah yang habis rendah, itupun setelah baru-baru sahaja didewa-dewakannya sebagai pemimpin negara.

Kepada masyarakat Melayu terutama sekali, mereka terus bersentimen "kasihan" dengan keadaan sedemikian. "Zalim" dan "kasihan" telah menjadi bahan berhujah antikerajaan dan bisikan-bisikan yang sangat berkesan negatif kepada kita.

(2) Isu rasuah, kronisme dan nepotisme

Walau apapun hujah digunakan oleh pemimpin kita dalam usaha mereka hendak mematahkan tohmahan-tohmahan rasuah, nepotisme dan kronisme, persepsi banyak anggota masyarakat ialah bahawa ianya berlaku.

Dalam politik, apa yang penting ialah image atau persepsi. Walau bagaimanapun kita cuba berusaha dan meminta supaya dibawa ke peringkat keadilan di mahkamah, atau diminta dilapor kepada pihak polis atau pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan, apabila rakyat melihat lifestyle atau cara hidup peribadi yang begitu mewah dan boros oleh mereka yang berkuasa dan diukur dari pendapatan sebenar sebagai gaji atau kelayakan, mereka tidak dapat menerima hujah-hujah kita.

(3) Keagamaan

Berpuluh-puluh tahun Umno dan PAS telah bersaing politik di mana politik dicampur-aduk dengan agama. Berpuluh-puluh tahun PAS cuba menonjolkan imejnya sebagai parti politik yang menganuti Islam dan menyiarkan syiar Islam. Umno telah berjaya juga mematah imej ini di samping menonjolkan dirinya sebagai pejuang atas nama Islam.

Terang-terang saya berani menyatakan sekarang bahawa PAS telah berjaya dengan hujah-hujahnya memikat orang-orang Islam. Sememangnya banyak faktor yang menyebabkannya, ada yang baik dan ada yang buruk di mana berbagai taktik digunakan, ada yang beretika dan ada yang tidak.

Pada awal-awal tahun 1980-an dahulu, ada dua daya penarik yang telah menyebabkan Umno dengan begitu ghairah diterima oleh semua golongan masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu. Iaitu BCA [Bersih, Cekap, Amanah] dan "kepimpinan melalui teladan." Sebenarnya konsep "Bersih, Cekap, Amanah" dan "kepimpinan melalui teladan" kedua-duanya amat tepat setepat-tepatnya dengan ajaran Islam.

Amalan yang dituntut oleh Umno waktu itu (saya masih ingat lagi bagaimana Majlis Tertinggi Umno begitu excited dengan konsep-konsep ini!) nampak saya telah diterlupakan tengah-tengah kita masih dalam perjalanan terus cuba mendekati rakyat. Akhir-akhir ini dalam beberapa tahun lepas, penyebutan konsep BCA dan 'kepimpinan melalui teladan' itu pun pemimpin-pemimpin kita segan silu menyebutnya.

Pada hemat saya persepsi rakyat ialah bahawa PAS sendiri sebagai parti yang berkuasa dalam hanya satu negeri telah mengamalkan konsep-konsep ini jauh daripada Umno. Dengan berbuat demikian, PAS telah dapat membuktikan kredibilitinya dan menonjolkan image yang positif. Sekali lagi saya ingatkan, dalam politik, image dan persepsi rakyat sangat penting.

Apakah ahli-ahli Umno tidak nampak itu semua? Apakah ahli-ahli Umno yang datangnya dari grassroots, dari kalangan rakyat biasa tidak sedar atas isu-isu ini semua? Tentu nampak, tentu sedar! Saya yakin mereka nampak dan sedar. Ada yang begitu nampak dan begitu sedar hingga melonjak ke tahap "frust" iaitu sesak fikiran hingga diam-diam dan secara sulit tidak mengundi calon parti sendiri!

(4) Keadaan dalam parti

Saya ingin menyarankan bahawa satu daripada keadaan sebegini rupa ialah disebabkan keadaan dalaman parti kita sekarang. Semenjak tertubuhnya parti Umno pada 11hb Mei 1946 di Johor Bahru ini, parti kita merupakan satu parti politik yang terbuka, telus dan mewakili orang-orang Melayu dari segala lapisan masyarakat.

Ini ialah disebabkan amalan-amalan dan cara pentadbirannya yang terbuka di mana tiap-tiap ahli diberi hak memberi pendapat menyampaikan pandangan-pandangan dan kritikan-kritikan, semata-mata bertujuan supaya ianya sentiasa senada dan seimbang dengan perasaan dan kemahuan-kemahuan rakyat. Ahli-ahli dan ketua-ketua parti kita bukan sahaja mendampingi rakyat tetapi mewakili rakyat!

Caranya ialah melalui mesyuarat-mesyuarat tahunan parti peringkat cawangan, ke peringkat bahagian dan seterusnya ke peringkat kebangsaan. Segala keluhan rakyat, segala tuntutan rakyat dan segala kritikan rakyat disampaikan melalui ucapan-ucapan, soal-jawab dan perbahasan. Bahan-bahan perbahasan itu digunakan sebagai maklum balas dan kebaikan parti.

Sewaktu saya berkhidmat dahulu tidak kurang juga anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno, PM baik, TPM baik, Menteri-menteri dan Menteri Besar-Menteri Besar baik, dikritik dengan lantang dan tidak segan silu.

Logiknya keadaan begitu ialah semata-mata bertujuan sentiasa mengingatkan keseluruhan keanggotaan Umno bahawa ianya benar-benar dan berterusan merupakan parti mewakili rakyat keturunan Melayu. Selagi ia mahu terus sedemikian, selagi itulah apa juga pandangan dan kritik serta tuntutan orang-orang Melayu disampaikan, walau bagaimana pahit atau kurang munasabahnya pun!

Di dalam jangka masa satu dekad yang lepas, nampak saya Umno telah berubah corak. Mesyuarat-mesyuarat agung tahunannya, di peringkat bahagian baik, di peringkat negeri baik, mahupun di peringkat nasional, semuanya tersusun dan disusun rapi, begitu rapi hinggakan kita telah terpesong daripada tujuan asalnya.

Perwakilan parti semakin merupakan penonjolan kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu atau individu-individu tertentu dengan isu-isu kebanyakannya berkisar kepada kedudukan politik atau kebendaan wakil-wakil sendiri. "Melayu Umno" dengan "Melayu Bahru" dan Melayu keseluruhannya tidak dapat dibezakan.

Ucapan-ucapan dan kenyataan-kenyataan lebih bertujuan bagi menarik minat dan perhatian mereka yang berkuasa. Lagi tinggi yang berkuasa ditujukan, lagi melambung tinggi puji-pujian! Tahap toleransi menerima kritik atau menerima perbezaan pendapat semakin menurun, semakin pemimpin itu naik pangkat kuasanya.

Dengan keadaan yang demikian tidak hairanlah kita melihat mesyuarat-mesyuarat parti kita yang semakin lama merupakan mesyuarat-mesyuarat "endorsement" dan kurang mesyuarat yang ingin menyampaikan keluhan rakyat, kritik rakyat dan tuntutan rakyat. Bukan itu sahaja, barang siapa yang berani memberi pendapat berbeza atau mengkritik, orang itu dicap tidak setia dan harus dikecam habis-habisan.

(5) Konsep setia

Konsep setia dalam parti kita sudah bercelaru! Setia kepada parti seolah-olah dikelirukan dengan setia kepada pemimpin-pemimpin individu atau mereka yang memegang jawatan. Hanya mereka yang melaungkan "sokong dan setuju!" sahaja dianggap setia. Yang memberi pendapat kontra atau berlainan dipinggirkan atau diketepikan serta dicap sebagai pengacau.

Dalam pemilihan bakat-bakat baru atau pemilihan pucuk pimpinan parti, ukuran sokongan berasas kepada "dia ini boleh kita percayakah?" dan bukan "dia ini boleh bekerja" bagi kepentingan rakyat atau tidak. Sindrom "sokong dan setuju" ini telah mematikan kesanggupan mengemukakan pendapat-pendapat bernas.

(6) Perlembagaan Umno

Dalam bab pertandingan jawatan-jawatan, saya berpendapat bahawa tiap-tiap seorang ahli yang ingin menawarkan diri masing-masing memegang apa-apa jawatanpun, Presiden baik, Timbalan Presiden baik, Naib Presiden atau Majlis Tertinggi harus diterima dan tidak dihalang dengan syarat-syarat yang terlampau ketat seperti wujud dalam Perlembagaan kita Fasal 9.5. Atau ditegah bertanding mana-mana jawatan tertentu melalui keputusan Majlis Tertinggi.

Sebelum pindaan ini dahulu pun konsep "undi bonus" telah diperkenalkan. Dipercayai bahawa ini akan memberi kelebihan peluang kepada "incumbent," iaitu yang sedang memegang jawatan. Difikirkan kononnya tentu bahagian-bahagian segan hendak mencalon yang lain daripada incumbent ... mengikut tradisi Umno dahulu.

Malangnya senjata makan tuan, Anwar Ibrahim menang dengan mudah sungguhpun incumbent ialah Ghaffar Baba! Dengan syarat yang ada sekarang, saya tidak pasti kejadian sebegini tidak berulang. Yang jelas kepada saya ialah, belumpun berkempen selepas calon-calon diketahui, kempen mendapatkan pencalonan sebegitu rancak berjalan sekarang seperti kita semua tahu, menjelang pemilihan akan datang ini.