Seorang jurugambar sambilan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu dan menyamar sebagai timbalan pendakwaraya.

    

MK Ravi, 44, didakwa menipu Koperal Zainal Maliki untuk mempercayai bahawa dia adalah Timbalan Pendakwaraya Mohd Sophian Zakaria yang akan menyelesaikan kes rasuah melibatkan Zainal hingga mendorongnya (Zainal) menyerahkan wang berjumlah RM5,000.

    

Bagi kesalahan tersebut, Ravi didakwa mengikut Sesyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

    

Bagi kesalahan kedua, Ravi didakwa menipu Zainal dengan menyamar sebagai Timbalan Pendakwaraya Mohd Sophian dan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    

Ravi didakwa melakukan pertuduhan pertama di Bank Simpanan Nasional, Sungai Besi pada pukul 9.09 pagi, 26 Mei 2011 dan tuduhan kedua di B8A, Jalan Sinaran, Taman Sinaran, Balakong, pada pukul 8 malam 25 Mei 2011.

    

Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan Ravi melapor diri di balai polis terdekat dua minggu sekali pada setiap hari Isnin.

    

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azizun Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

- Bernama