Lindungi tanah Orang Asli, gesa Majlis Peguam
Kerajaan negeri Kelantan harus melindungi tanah adat Orang Asli Temiar seperti tanah rizab kaum itu yang diwartakan, kata Majlis Peguam.
"Mahkamah Rayuan dalam kes Sagong Tasi telah membuat keputusan bahawa tanah Orang Asli Temiar di Gua Musang adalah tanah adat dan mesti dilindungi dengan cara yang sama sebagaimana diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli," kata naib presidennya, Christopher Leong.
"Badan Peguam menggesa kerajaan negeri Kelantan untuk mematuhi penghakiman penting ini dan menerima hakikat bahawa tanah masyarakat Temiar di Gua Musang tanah adat anak negeri dan oleh itu layak mendapat perlindungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Leong mengulas kejadian Sabtu lalu di mana masyarakat Temiar di Gua Musang cuba mendirikan sekatan bagi menghalang pembalak daripada memasuki kampung mereka.
Bagaimanapun sekatan itu kemudiannya dibakar oleh pihak polis yang juga menangkap 13 Orang Asli dan seorang peguam yang cuba untuk campur tangan.
Katanya, apa-apa pembangunan di atas tanah adat perlu berpegang kepada prinsip "persetujuan yang dibuat dan diterangkan kesannya", seperti ketetapan Deklarasi Hak Orang Asal 2007 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disokong Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, NGO ALIRAN juga melahirkan rasa terkejut berhubung kejadian itu.
Setiausaha kehormatnya, Mustafa K Anuar berkata konflik antara penduduk asal dengan pihak berkuasa negeri dan tempatan bukan sesuatu yang baru di negara ini, tetapi kejadian di Gua Musang berbeza.
"Apa yang membezakan konfrontasi di Gua Musang ini, ia berlaku di sebuah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang mana belas ehsan harus, manakala menghormati hak tanah pusaka dianggap sebagai hak yang perlu dipertahankan.
"Ini adalah harapan sebahagian besar rakyat Malaysia yang prihatin," katanya.
Justeru, Mustafa menggesa kerajaan negeri Kelantan supaya berunding dengan wakil-wakil Temiar "untuk memastikan bahawa keadilan dan maruah kumpulan terpinggir ini dipelihara".

