Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ANAK mahu KPF halang Felda Global disenaraikan
Diterbitkan:  Feb 1, 2012 5:54 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) akan mendapatkan persetujuan perwakilan dan pemegang saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) untuk menghalang penyenaraian Felda Global Venture di Bursa Saham Malaysia.

NONE Katanya, pihaknya akan memohon kebenaran tersebut berdasarkan fasal 29 (1) Undang-undang kecil KPF memperuntukan membenarkan EGM dibuat dengan mendapat sekurang-kurangnya satu perlima atau 100 orang pemegang saham tersebut.

"Kita telah mendapat penjelasan daripada KPF tentang peruntukan fasal 29 yang mana boleh buat EGM berasingan.

"Kita buat EGM untuk menentang penyenaraian, maka kita sudah berbincang dengan peguam-peguam kita dengan teliti," kata presiden ANAK Mazlan Aliman.

Menyifatkan ia sebagai satu strategi, Mazlan berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menggerakkan kekuatan kumpulan Gerakan Selamatkan FELDA (GSF) untuk mendapatkan sokongan daripada pemegang saham untuk tujuan tersebut.

"Maknanya boleh berlaku satu grup yang menyokong (penyenaraian) dan satu grup menentang.

"Mungkin grup menentang jauh lebih besar dari grup yang menyokong," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

azlan Ditanya bila pihaknya akan memohon kebenaran EGM itu diadakan daripada Lembaga Pengarah KPF, Mazlan berkata ia bergantung kepada notis panggilan mesyuarat yang dikeluarkan selepas menangguhkannya pada 5 Januari lalu.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata beliau mendapat maklumat EGM itu akan diadakan pada 22 Februari ini yang mana ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas mengenai permohonan injunksi bagi menghalang EGM itu, Mazlan berkata pihaknya tetap akan memfailkan permohonan tersebut sepertimana yang dilakukan sebelum ini.

"Kita sudah bersedia, kita akan pastikan injunksi dilakukan selepas mendapat notis itu dikeluarkan.

"Ini kita tidak akan berkompromi, kita akan halang EGM itu," katanya.

ADS