Maulidur Rasul: JB larang operasi pusat hiburan
Operator pusat hiburan di Johor Bahru menggesa pihak berkuasa tempatan supaya menarik balik larangan ke atas aktiviti hiburan pada hujung minggu ini. Hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, atau Maulidul Rasul, jatuh pada hari Ahad.
Majlis Bandaraya Johor Baru telah mengeluarkan pekeliling pada hari Isnin kepada pengendali pusat berkenaan, memaklumkan kepada mereka mengenai larangan tersebut yang berkuatkuasa dari jam 7 malam 4 Disember sehingga 7 malam hari berikutnya.
Menurut presiden Persatuan Operator Pusat Hiburan Johor, Tan Yam Meng, larangan itu meliputi kelab malam, pub, pusat karaoke, spa, rumah urut, salon biliard dan semua pawagam.
Tan menegaskan persatuan tersebut menghormati "100 peratus" cuti sambutan keagamaan itu tetapi berharap pihak berkuasa "melonggarkan" larangan tersebut kerana ia menjejaskan mata pencarian mereka.
Beliau menjelaskan bahawa perniagaan tersebut berharap dapat mengambil kesempatan daripada pertambahan bilangan pengunjung kerana cuti panjang sehingga hari Selasa bagi beberapa buah negeri.
"Ramai operator yang mengambil cuti panjang semasa sambutan Tahun Baru Cina dan kini berharap untuk meneruskan perniagaan sebelum akhir musim perayaan," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, larangan majlis tersebut telah menjejaskan hari perniagaan yang penting bagi mereka.
Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata kira-kira 500 hingga 600 perniagaan akan terjejas.

