Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: PAS, PKR, DAP tak pernah sehaluan
Diterbitkan:  Feb 14, 2012 5:59 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan yang menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel menunjukkan Pakatan Rakyat  tidak pernah sehaluan dalam perjuangan dan pandangan mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONE Timbalan Perdana Menteri berkata PAS, PKR dan DAP  yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat sebenarnya tidak pernah sehaluan dan sentiasa mempunyai pemikiran yang berbeza.

"Lebih banyak Anwar bercakap, Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bercakap, Nik Aziz bercakap lebih banyak perbezaan, pemikiran yang tak sama dan tak serupa.

"Ini satu iktibar atau peringatan kepada rakyat tentang siapa Pakatan Rakyat, perjuangan mereka, ideologi mereka dan perjuangan pemimpin dalam pakatan pembangkang. Ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakyat di Padang Awam Desa KEDA, Batu 13 di Pokok Sena, hari ini.

Katanya keadaan itu jauh berbeza daripada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pandangan dan fahaman yang serupa dalam sesuatu isu.

Semalam Nik Abdul Aziz menggesa Anwar menarik balik kenyataan beliau yang menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel.

pakatan ceramah shah alam 041211 nik aziz Nik Abdul Aziz berkata Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat di Kuala Lumpur dua hari lalu, memutuskan supaya Anwar menarik balik kenyataan beliau mengenai Israel itu yang dilaporkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

"Sekiranya The Wall Street Journal ini tidak tepat melaporkan kenyataannya sebagaimana yang disebut oleh Datuk Seri (Anwar), kita harap Datuk Seri saman WSJ," kata Menteri Besar Kelantan itu.

Muhyiddin berkata parti-parti Pakatan sering mempunyai masalah antara parti dan ia turut berlaku di negeri-negeri termasuk negeri yang mereka kuasai seperti Kedah.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menarik rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi kerana usaha yang dilakukan ketika ini masih belum mencukupi.

Muhyiddin berkata walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk parti komponen BN tetapi masih ramai yang belum berdaftar.

"Penting untuk mendaftar sebagai pemilih. Ini satu tanggungjawab untuk mereka (rakyat) lakukan. Kalau tak mendaftar mereka yang rugi kerana tak dapat tentukan kepimpinan negara. BN berikan perhatian kepada pendaftaran pemilih," katannya.

Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mukhriz  Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Muhyiddin dalam rangka lawatan sehari ke Kedah hari ini.

- Bernama

ADS