Lebih 1,000 polis dikerah kawal perhimpunan esok
versi terkini Polis akan mengerahkan pelbagai unit untuk mengawasi sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai mengawal perhimpunan di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin, kira-kira 1,000 anggota dikerahkan, termasuklah pasukan antirusuhan FRU dan Pasukan Gerak Am, selain pasukan polis daripada empat daerah di bandaraya.
"Polis hanya akan mengambil tindakan pencegahan, dan tiada sekatan jalanraya. Tindakan polis untuk memastikan kegiatan orang ramai berjalan seperti biasa," kata Meor, seperti dilaporkan oleh laman web Sin Chew-i.com hari ini.
Polis juga mengeluarkan amaran bahawa sesiapa yang menyertai acara penyerahan memoradum hak asasi esok akan dianggap sebagai mengancam ketenteraman awam dan polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka.
Suhakam juga menyeru agar majlis penyerahan memorandum itu "tidak bertukar sebagai perhimpunan haram."
'Pertempuran ganas'
"Saya bimbang perhimpunan yang dianjurkan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'jawatankuasa rakyat 14 April' mungkin berlaku pertempuran ganas," kata pengerusi Suhakam Tan Sri Musa Hitam dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .
Tambahnya, tiga orang ahli suruhanjaya itu akan menerima memorandum yang bakal dihantar oleh 10 wakil daripada rombongan gabungan 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan kumpulan rakyat.
Musa juga menggesa polis supaya mengawal tindakan mereka dalam usaha menjaga ketenteraman awam ketika perhimpunan tersebut.
"Mereka yang (hadir) bersama-sama dengan rombongan itu juga diseru bersurai secara aman selepas memorandum itu diserahkan," katanya.
Sementara itu seorang jurucakap jawantankuasa perhimpunan itu, Mohd Nasir Isa, memberitahu malaysiakini , tulisan yang menyeru penyokong reformasi berkumpul di rumah Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail pagi esok dan mengiringi pemimpin itu adalah tidak benar.
Ikut jadual asal
Katanya, jawatankuasa penganjur tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Menurut satu tulisan pada Laman Reformasi yang bertajuk 'Awas Agen Provokasi Black 14', orang ramai "dijemput dengan rasminya turut serta mengiringi pimpinan BA (Barisan Alternatif) dan NGO yang bermula dari kediaman rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Damansara jam 9.00 pagi dan dijangka sampai ke pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut lebih kurang pukul 10.00 pagi."
"Penyokong diseru mengikut program asal jawatankuasa, iaitu berhimpun di Suhakam pada pukul 10 pagi, dan bukan mengikut apa yang dilaporkan pada laman tersebut," kata Mohd Nasir lagi.
Beliau menambah, pemimpin pembangkang yang bakal menyertai majlis penyerahan memorandum sahaja akan berkumpul di rumah Dr Wan Azizah.
"Sebarang perubahan (jika ada) akan dimaklumkan kemudian melalui laman-laman web reformasi dan media," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.