MB T'ganu kecewa projek kesihatan gagal dilaksana
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kecewa dengan kegagalan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu menyiapkan kerja ubah suai dan menaik taraf sebuah makmal dadah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengikut jadual.
Projek naik taraf makmal untuk mengesan dadah dalam badan atau 'Amphetamine Type Simulant' (ATS) sepatutnya siap pada tahun lepas namun gagal disiapkan kerana kos perbelanjaannya meningkat daripada RM1.2 juta kepada RM1.7 juta.
Apabila siap kelak, HSNZ akan menjadi pusat pengesahan ATS yang pertama di Pantai Timur dan kedua di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur.
"Sepatutnya JKR maklumkan kepada kita. Soal mengenai peruntukan tambahan itu bukanlah satu isu besar yang boleh menyebabkan projek ini gagal dilaksanakan.
"Bila terjadi perkara seperti ini, rakyat akan melepaskan kemarahannya kepada kerajaan. Mereka kata kerajaan menipu rakyat dengan projek-projek yang tidak dilaksanakan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Bantuan Tabung Dana Khas di HSNZ hari ini.
Sejumlah RM2 juta disalurkan oleh kerajaan negeri kepada Jabatan Kesihatan negeri Terengganu untuk bantuan kebajikan dan sosial rakyat di negeri itu.
Selain itu, Ahmad turut kecewa dengan masalah dewan bedah di Hospital Setiu yang masih gagal digunakan walaupun telah siap dibina semenjak lapan tahun lalu.
Kegagalan itu berpunca daripada pembinaannya yang tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan, termasuk daripada segi kebersihan dan keselamatan berikutan kehadiran fungus dan kebocoran siling di dewan bedah yang boleh membahayakan nyawa pesakit.
Selain Hospital Setiu, kelewatan operasi dewan bedah turut berlaku di Hospital Kemaman dan Kuala Terengganu yang hanya beroperasi selepas empat tahun disiapkan manakala dewan bedah Hospital Besut hanya dapat digunakan selepas 12 tahun dibina.
"JKR sepatutnya memantau pembinaan setiap projek yang ingin dilaksanakan secara terperinci. Konsultan yang dilantik pula perlu berbincang dengan pengurusan tertinggi hospital untuk reka bentuk yang sesuai," katanya.
- Bernama

