Ekonomi S'pura dijangka berkembang 1.0-3.0% tahun ini
Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonominya pada 2012 pada kadar 1.0-3.0 peratus dengan tinjauan ekonomi global terus tertekan.
Bagi 2011, MTI berkata ekonomi republik itu berkembang 4.9 peratus, selepas berkembang 14.8 peratus pada 2010.
Dalam pengumuman terbaharunya mengenai pertumbuhan ekonomi di Singapura hari ini, MTI berkata Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura berkembang 3.6 peratus
tahun ke tahun pada suku keempat 2011 berbanding dengan 6.0 peratus pada suku ketiga.
Berasaskan perangkaan sukuan ke sukuan yang diselaraskan secara bermusim, ekonominya menguncup 2.5 peratus, bertentangan dengan pertumbuhan 2.0 peratus pada sukuan sebelum ini.
MTI berkata ia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonominya antara 1.0-3.0 peratus tetapi tidak mengambil kira risiko yang menyebabkan kelembapan yang berpunca dari luaran.
Jika perkara itu berlaku, MTI memberi amaran bahawa ia akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan Singapura.
- Bernama

